Prosedur Permohonan Pasport Malaysia & Harga Terkini
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai cara atau prosedur membuat Pasport Malaysia Antarabangsa beserta harga yang terkini.
Isi Kandungan
Pasport Malaysia Antarabangsa
Pasport Malaysia adalah suatu Dokumen Perjalanan Sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada warganegara Malaysia bagi maksud perjalanan keluar ke negara-negara yang dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas bagi negara terlarang.
Pasport adalah hak milik Kerajaan Malaysia dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Tempoh sah laku pasport adalah LIMA(5) tahun dari Tarikh Pasport dikeluarkan.
Spesifikasi Gambar Pasport Malaysia
Spesifikasi gambar pasport mestilah seperti berikut:
- Gambar akan diambil di bahagian pasport menggunakan alat Facial Live Capture.
- Pemohon perlu memakai pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada.
- Memandang tepat kearah kamera, mata perlu dalam keadaan terbuka dan mulut tertutup.
- Tidak memakai topi / rambut tidak melindungi wajah dan tidak menutupi dahi bagi yang memakai tudung.
- Pemakaian lensa mata dan cermin mata tidak dibenarkan semasa mengambil gambar.
- Pemohon yang memakai tudung hendaklah memakai tudung yang berwarna gelap dan tidak bercorak (pakai tudung yang plain sahaja).
Berikut adalah contoh saiz gambar pasport:
Spesifikasi untuk gambar kanak-kanak di bawah 4 tahun pula adalah seperti berikut:
- Satu keping gambar bersaiz 35mm x 50mm berlatar belakang PUTIH tanpa bayang.
- Saiz wajah pembawa pasport berukuran minima 25mm – 30mm (50% – 60% ukuran ruang gambar mengikut International Civil Aviation Organization, ICAO).
Prosedur Permohonan Pasport Malaysia
Permohonan pasport Malaysia boleh dibuat di semua Pejabat Imigresen di Malaysia dan di Pejabat Perwakilan Malaysia luar negara.
Permohonan Pasport Kali Pertama
Pemohon dikehendaki hadir ke pejabat pasport dan lakukan permohonan di kaunter.
Pemohon yang berusia di bawah 18 tahun perlu hadir bersama Ibu / Bapa / Penjaga yang sah.
Dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan untuk membuat permohonan pasport kali pertama adalah seperti berikut:
- Kategori Pemohon Berumur 18 Tahun Dan Ke Atas
- MyKad.
- JPN.KPPK 09 (sekiranya tiada MyKad).
- BorangW / Borang H / Sijil Kelahiran / Sijil Perakuan Taraf / Pengesahan Taraf Warganegara (bagi yang lahir di luar negara).
- Dokumen perjalanan yang digunakan semasa balik ke Malaysia (bagi yang lahir di luar negara).
- Surat Akuan Sumpah (jika bukti kemasukan telah hilang).
- Kategori Pemohon Berumur 18 Tahun Dan Ke Bawah
- Sijil Kelahiran.
- MyKad (jika berumur 12 tahun ke atas).
- JPN.KPPK 09 (sekiranya tiada MyKad).
- MyKad ibu / bapa / penjaga yang sah.
- Sijil Kematian ibu dan bapa (jika ibu dan bapa telah meninggal dunia).
- Sijil Cerai ibu dan bapa (jika ibu dan bapa telah bercerai).
- Dokumen Pengangkatan (jika pemohon adalah anak angkat).
- Sijil Nikah (jika pemohon sudah berkahwin).
- Sijil Cerai (jika pemohon sudah bercerai).
- Borang W / Borang H / Sijil Kelahiran / Sijil Perakuan Taraf / Pengesahan Taraf Warganegara (bagi yang lahir di luar negara).
- Dokumen perjalanan yang digunakan semasa balik ke Malaysia (bagi yang lahir di luar negara).
- Surat Akuan Sumpah (jika bukti kemasukan telah hilang).
- Pengesahan Taraf Kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (bagi yang telah mendapat taraf warganegara).
- Tambahan Dokumen Bagi Kategori Pelajar Mengikuti Program Ijazah Luar Negara (21 Tahun Ke Bawah): Surat Tawaran IPT atau Agensi Pengambilan Pelajar atau Surat Tawaran Biasiswa / Tajaan, Resit Bayaran Yuran Pendaftaran dan Kad Matrik Pelajar (jika sedang belajar).
- Tambahan Dokumen Bagi Kategori Orang Kelainan Upaya (OKU): Golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengemukakan Kad Pendaftaran yang dikeluarkan oleh JKM sebagai bukti.
Semua dokumen perlu disertakan bersama salinan.
Berikut adalah bayaran yang akan dikenakan untuk membuat pasport buat kali pertama mengikut kategori, iaitu:
Kategori | Harga Bayaran |
---|---|
Pemohon Biasa (13 Tahun – 59 Tahun) | RM 200.00 |
Warga Emas (60 Tahun Ke Atas) | RM 100.00 |
Kanak-Kanak (12 Tahun Ke Bawah) | RM 100.00 |
Pelajar Mengikuti Program Ijazah Luar Negara (21 Tahun Ke Bawah) | RM 100.00 |
Jemaah Haji (Surat Tawaran Dari Lembaga Tabung Haji) | RM 100.00 |
Orang Kelainan Upaya (OKU) | PERCUMA |
Bentuk bayaran yang terkini adalah melalui Kad Kredit atau Kad Debit sahaja.
Permohonan Gantian Pasport (Kes Hilang / Rosak)
Buku pasport baru akan dikeluarkan kepada permohonan gantian pasport.
Baki tempoh (had maksima 6 bulan sahaja) yang ada dalam pasport lama akan dimasukkan kedalam pasport baru dengan syarat-syarat berikut:
- Bukan kes hilang atau rosak; dan
- Bukan kes dalam siasatan.
Dokumen yang diperlukan untuk permohonan gantian pasport adalah sama seperti permohonan kali pertama dan pemohon perlu membawa pasport Malaysia terakhir yang digunakan.
Permohonan gantian pasport yang hilang / rosak ini boleh dikemukakan di mana-mana Pejabat Imigresen yang berdekatan dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti berikut:
- Laporan Polis (bagi kes kehilangan / kes kebakaran / kes bencana alam).
- MyKad pemohon.
- Sijil Lahir dan MyKad Ibu / Bapa yang hadir (bagi pemohon berumur bawah 18 tahun).
- JPN.KPPK 09 (sekiranya tiada MyKad).
- Surat pengesahan majikan yang bertugas di luar negara (jika berkaitan).
- Sijil Perakuan Cemas (SPC) dan surat daripada Pejabat Operasi Imigresen di pintu masuk.
- Pasport Malaysia Antarabangsa terakhir yang digunakan (bagi gantian pasport yang rosak).
Bagi kehilangan pasport diluar negara hendaklah dilaporkan segera di pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat bagi mendapatkan gantian.
Denda bagi kes kehilangan dan kerosakan pasport Malaysia yang masih sah laku adalah seperti berikut:
Kategori | Harga Bayaran | Harga Gantian Bagi Kehilangan / Kerosakan Kali Pertama (+Denda RM 200.00) | Harga Gantian Bagi Kehilangan / Kerosakan Kali Kedua (+Denda RM 500.00) | Harga Gantian Bagi Kehilangan / Kerosakan Kali Ketiga & Seterusnya (+Denda RM 1,000.00) |
---|---|---|---|---|
Pemohon Biasa (13 Tahun – 59 Tahun) | RM 200.00 | RM 400.00 | RM 700.00 | RM 1,200.00 |
Warga Emas (60 Tahun Ke Atas) | RM 100.00 | RM 100.00 (TANPA DENDA) | RM 100.00 (TANPA DENDA) | RM 100.00 (TANPA DENDA) |
Kanak-Kanak (12 Tahun Ke Bawah) | RM 100.00 | RM 300.00 | RM 600.00 | RM 1,100.00 |
Pelajar Mengikuti Program Ijazah Luar Negara (21 Tahun Ke Bawah) | RM 100.00 | RM 300.00 | RM 600.00 | RM 1,100.00 |
Orang Kelainan Upaya (OKU) | PERCUMA | PERCUMA | PERCUMA | PERCUMA |
Kelulusan permohonan gantian pasport yang telah hilang / rosak bergantung kepada keputusan KETUA PENGARAH IMIGRESEN.
Tempoh keputusan siasatan dimaklumkan dalam tempoh LIMA (5) hari bekerja dari Tarikh Permohonan diterima.
Pejabat Penerima & Pengeluaran Pasport
Pejabat Penerima & Pengeluaran Pasport adalah pejabat yang menerima dan memproses permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa di tempat yang sama.
Manakala, Pejabat Penerima sahaja adalah pejabat yang hanya menerima permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa dan akan dihantar ke ibu pejabat negeri masing-masing untuk diproses.
Berikut adalah senarai pejabat penerima dan pengeluar pasport Malaysia di dalam dan luar negara:
>>>Senarai Pejabat Penerima & Pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa<<<
Semoga perkongsian ini bermanfaat!