PM BAKAL UMUM PELAN PEMULIHAN EKONOMI NEGARA
Kerajaan mengambil langkah drastik untuk memulihkan sektor ekonomi negara sekaligus dapat membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik covid-19 yang melanda. Sebelum ini kerajaan mengumumkan pelan ekonomi prihatin jangka pendek, kini kerajaan akan mengumumkan pelan pemulihan ekonomi dengan menumpukan pada tiga matlamat utama, dan berdasarkan empat ciri utama.
Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak lama lagi akan memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama dalam memperkasakan ekonomi negara.
PELAN PEMULIHAN EKONOMI
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata tiga matlamat itu adalah memperkasakan rakyat (Empower People); melonjakkan perniagaan (Propel Businesses); dan merangsangkan ekonomi (Stimulate the Economy).
Katanya, pelan pemulihan jangka pendek yang dirangka bagi tempoh Jun hingga Disember 2020, akan mengambil kira pendekatan kerajaan bersandarkan kepada empat ciri.
“Pertama, ia mestilah tangkas dan dinamik. Bermakna pelan berkenaan mesti mampu diperbaiki dan diperhalusi secara berterusan, mengikut keperluan semasa serta situasi tidak menentu sepanjang tahun ini.
“Kedua, kerjasama sektor awam-swasta diutamakan. Pelan ini akan merangkumi pelbagai langkah dengan kerjasama seramai mungkin peserta dari sektor swasta, dan bukan sahaja dari syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej PRIHATIN di Facebook, hari ini.
Menyentuh mengenai ciri ketiga, Tengku Zafrul berkata, ia akan mengambil kira komunikasi menyeluruh dan capaian meluas membabitkan rakyat dan sektor perniagaan di Malaysia.
Katanya, semua haruslah meyakini pelan pemulihan itu agar rakyat dan perniagaan dapat memainkan peranan masing-masing bagi menjana semula ekonomi Malaysia.
“Kerajaan akan memastikan usaha komunikasi dilakukan secara berterusan. Ketelusan dan keterbukaan adalah penting dalam menjayakan usaha ini.
“Ciri terakhir ialah pendekatan berdasarkan data, di mana pelaksanaan pelan ini adalah berdasarkan data dan statistik agar setiap pencapaian dapat dipantau dan diperhalusi dengan cepat dan tepat.
“Data terkini juga akan dikongsi bersama dengan sektor kerajaan dan swasta, serta agensi-agensi pelaksanaan untuk penambahbaikan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek adalah ruang untuk semua mengambil peluang baharu yang berbangkit daripada krisis COVID-19 demi pembangunan masa depan negara.
“Insya-Allah, inisiatif yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri akan membolehkan kita mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.
Kesimpulannya, kerajaan sedang berusaha untuk membantu rakyat dan negara memulihkan ekonomi yang semakin merundum di seluruh negara. Perkara ini bukan Malaysia sahaja terasa tekanannya malah di seluruh negara. Semoga pelan yang dirangka ini dapat dicapai dengan sempurna. Semua pihak perlu bekerjasama demi menjayakan matlamat ini dan membantu kembali meningkatkan ekonomi negara.
Anda boleh menyuarakan pandangan anda kepada kementerian kewangan melalui pautan kementerian kewangan.
Sumber : Berita Harian