Panduan Pengurusan Ubat Sebelum, Semasa & Selepas Banjir
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai pengurusan ubat ketika musim banjir yang sangat perlu diambil tahu terutamanya pesakit yang berhadapan dengan musibah banjir.
Isi Kandungan
Implikasi Banjir Kepada Pesakit
Menjelang awal bulan November sehingga penghujung Mac tahun berikutnya, Malaysia biasanya akan mengalami perubahan penerimaan hujan.
Hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut akan melanda negeri-negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Pantai Timur Laut Sabah sepanjang tempoh ini.
Jika keadaan berlarutan, negeri-negeri berkenaan mungkin akan dilanda banjir.
Dalam keadaan yang teruk, banjir akan memberi impak kepada kehidupan harian orang ramai terutamanya dari aspek pengurusan kesihatan kerana mungkin terdapat juga fasiliti kesihatan yang terlibat dalam banjir.
Banjir sememangnya memberikan implikasi besar kepada pengurusan kesihatan pesakit dan salah satunya adalah pengurusan dan pembekalan ubat-ubatan.
Kerap kali pesakit mendakwa bahawa mereka mengalami masalah bekalan ubat terputus kerana tidak dapat menyambung bekalan ubat di fasiliti kesihatan akibat daripada terputus hubungan atau menjadi mangsa banjir.
Selain itu, ada juga pesakit yang mengadu bahawa bencana banjir yang terjadi secara tiba-tiba telah menenggelamkan bekalan ubat mereka kerana tidak sempat diselamatkan.
Perkara ini menjadi lebih serius apabila semua rekod perubatan turut hilang.
Sehubungan itu, pesakit yang tinggal di kawasan yang kerap dilanda banjir perlu diberi pendedahan berkaitan cara pengurusan ubat yang betul dan sistematik untuk menghadapi banjir.
Cara Pengurusan Ubat Sebelum, Semasa & Selepas Banjir
Bagi pesakit yang menetap di kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir, berikut merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian mengenai ubat-ubatan sebelum berlaku banjir, iaitu:
- Simpan ubat dan rekod perubatan dalam bekas yang selamat, kalis air, mudah dicapai dan mudah dibawa.
- Ambil gambar rekod perubatan supaya mudah dirujuk oleh pasukan perubatan.
- Simpan nombor telefon kecemasan seperti polis, bomba atau fasiliti kesihatan berhampiran.
- Pastikan bekalan ubat mencukupi sepanjang tempoh musim banjir.
- Simpan ubat mengikut arahan penyimpanan seperti yang dinyatakan pada label pembungkusan ubat.
Bagi pesakit yang menetap di kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir, berikut merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian mengenai ubat-ubatan semasa berlaku banjir, iaitu:
- Bawa rekod perubatan atau preskripsi dan ubat ke Pusat Pemindahan Banjir jika diarahkan berpindah.
- Ambil ubat mengikut dos dan kekerapan seperti yang diarahkan.
- Elakkan berkongsi ubat dengan pesakit lain walaupun mengalami gejala atau penyakit yang sama.
- Dapatkan bantuan pasukan perubatan jika bekalan ubat terputus.
- Dapatkan rawatan segera jika mengalami sebarang gejala seperti demam, muntah, cirit-birit, sakit perut dan lain-lain.
Bagi pesakit yang menetap di kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir, berikut merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian mengenai ubat-ubatan selepas berlaku banjir, iaitu:
- Lupuskan ubat yang telah rosak atau tercemar akibat banjir dengan cara yang betul.
- Bawa rekod perubatan atau preskripsi untuk mendapatkan bekalan ubat gantian di fasiliti kesihatan berhampiran.
- Dapatkan preskripsi ubat yang baharu jika preskripsi ubat yang lama sudah hilang atau rosak.
- Jangan lupa untuk mengambil ubat seperti yang diarahkan walaupun semasa sibuk membersihkan rumah selepas banjir.
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722.
Selain bersiap sedia dari segi pengurusan ubat, orang ramai juga dinasihatkan agar bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melalui medium sebaran rasmi, iaitu
- Laman Web Rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia
- Aplikasi myCuaca
- Facebook MET Malaysia
- Telegram MET Malaysia
Info cuaca yang terkini dan sahih hanya di MET Malaysia sahaja.
Sebarang maklumat lanjut dan bantuan berkaitan Monsun Timur Laut 2024 di tempat anda, anda boleh hubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638.
Diharapkan perkongsian info tentang pengurusan ubat sebelum, semasa dan selepas banjir ini bermanfaat dan dapat memberikan persediaan awal kepada semua rakyat Malaysia diluar sana.