Perkongsian interaktif, ilmiah sepanjang Ramadan
Ibadah secara berilmiah dan santai sepanjang Ramadan
SEREMBAN: Inspirasi penulis buku dakwah santai terkenal, Bonda Nor mengajak umat Islam menjalankan ibadah secara berilmiah dan santai sepanjang Ramadan diterjemahkan menerusi penganjuran Program Semarak Ramadan @ Anjung Bonda Nor.
Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan, 44, berkata, bertemakan ‘Sebulan Menyemai Cinta, Sekeluarga Menuai Syurga’, program yang bermula 1 Ramadan hingga 1 Syawal itu diharap dapat menyuntik motivasi dalam jiwa masyarakat.
“Pengisian program ilmiah adalah menyeluruh dan tujuannya untuk membantu kita semua menyusun perkongsian Ramadan dengan lebih sistematik untuk seisi keluarga.
“Kami bawakan gabungan penulis dan penceramah di Akademi Bonda Nor dan para murabbi hebat untuk kuliah dan tausiyah seperti Ustaz Muhadir Joll, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa serta Ustazah Asma’ Harun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Semarak Ramadan @ Anjung Bonda Nor di Galeri Ustazah Asma’ Harun di Senawang di sini hari ini.
Menurut Bonda Nor, antara slot menarik yang ada sepanjang sebulan program tersebut termasuk Mari Mengaji, Kuliah Dhuha, Rezeki Ramadan, Tadarus al-Quran, Studio Sihat, Sembang Moreh, Bed Time Story dan Bengkel Penulisan.
“Semua slot ini boleh ditonton seawal pukul 5 pagi dan akan berakhir pada pukul 10 malam setiap hari dan dijalankan secara interaktif melalui platform Facebook Live ‘Group Semarak Ramadan’.
“Saya sendiri juga akan membantu peserta mengenali dunia penulisan dakwah menerusi slot Bengkel Penulisan Bonda Nor yang akan diadakan setiap Sabtu sepanjang Ramadan ini,” katanya yang memberitahu hampir 1,000 peserta telah mendaftar dengan yuran RM150 untuk satu keluarga.
Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan buku trilogi ibu tunggal bertajuk Suami Oh Suami, Semusim Tanpa Dia dan Setelah Engkau Pergi hasil karya dan cerita sebenar tiga penulis yang merupakan ibu tunggal.
Sumber Utusan Malaysia
Artikel lain: Permohonan Bantuan MyKasih Kapital