Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Pisang Unik Ditemui, 4,000 Biji Pisang Dalam Setandan

Pisang unik ditemui dengan 4,000 biji pisang setandan. Setandan pisang unik yang mempunyai kira-kira 4,000 biji dengan tandannya yang panjang mencecah tanah manakala buah di hujung tandan semakin mengecil umpama jari kelingking.

Sekali pandang pokok pisang ini sama seperti spesis yang lain. Namun, apabila melihat keunikan tandan pisang ini yang mencecah sehingga dua meter pasti anda akan tertanya apakah jenis pokok pisang unik ini. Ia dipercayai berasal dari Indonesia dikenali sebagai pokok pisang seribu atau seribu jari.

Malah isi juga dikenali dengan nama pisang belalai gajah atau pisang batu. Buahnya boleh dimakan. Pemilik pokok pisang unik ini yang juga penternak arnab dari Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor, Abdul Halim Hasan, 44, berkata beliau menanam pisang ini secara suka-suka sebagai pokok hiasan.

Katanya, namun selepas sembilan bulan ditanam, akhirnya satu daripada tiga pokok pisang yang ditanam berbuah.

PISANG UNIK DENGAN JANTUNG PISANG LIMA KALI GANDA LEBIH BESAR

“Saya dapat benih dari saudara di Ulu Belitong. Ada tiga pokok pisang belalai gajah ini saya tanam berasingan. Dua lagi pokok belum berbuah mungkin tanahnya kurang subur.

“Memang saja tanam, selalu tengok pisang ini di dalam telefon saja. Bila dapat tahu saudara ada benih, minta dan tanam. Saya ingatkan pisang hiasan, rupa-rupanya buah pisang ini boleh dimakan.

“Rasa buahnya hampir sama seperti pisang emas tetapi rasa agak kenyal dan sedikit berlendir,” katanya kali pertama menanam pisang jenis itu.

Penjagaan pisang ini sama seperti pisang lain, tetapi sedikit berbeza selepas pisang ini mengeluarkan jantung.

“Biasanya pisang lain, bila buah sudah besar, jantung pisang akan dipotong. Tetapi pisang ini jantungnya akan dibiar bagi menghasilkan lebih banyak buah.

“Semasa mula mengeluarkan jantung, jantung pisang ini lima kali ganda dari jantung pisang biasa. Mungkin mempunyai kelopak yang tebal dan banyak bagi penghasilan pisang.

“Dari pemerhatian saya, buah pisang belalai gajah ini masak secara beransur-ansur.

“Bahagian atas yang lebih besar akan masak terlebih dahulu dengan warna kuning keemasan,” katanya.

Halim berkata, tidak semua buahnya berada di tandan dan boleh dimakan.

Katanya, bahagian bawah tandan pisang mempunyai buah seperti sekecil jari kelingking dan tidak mempunyai isi.

“Bahagian pisang yang besar hanya kira-kira separuh saja daripada tandan. Yang selebihnya terlalu kecil dan tidak mempunyai isi.

“Bagi mengelakkan pokok pisang patah saya ikat pada dahan pokok durian bagi memberi sokongan.

“Ada saya lihat, pekebun lain yang menanam pokok ini menongkat pisang bagi memastikan tidak patah untuk menampung buah yang panjang dan banyak,” katanya.

Disebabkan keunikan pisang yang jarang ditemui itu, ia menjadi perhatian ramai.

Halim berkata, pengunjung datang untuk bergambar dan ada yang mahukan benih untuk ditanam.

“Pokok ini saya tanam berdekatan dengan ternakan arnab. Dua pokok lagi yang belum berbuah mungkin disebabkan tanahnya tidak subur. Jadi saya menggunakan tinja arnab untuk dijadikan baja organik pokok pisang ini supaya berbuah.

“Kebiasaannya orang luar atau penduduk kampung yang datang ke sini untuk merakam gambar kerana unik dan pelik,” katanya akan terus menanam sebagai tarikan di kampung berkenaan.

Sumber : BERITA HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More