PLKN 3.0 Mula Pertengahan 2025 Melibatkan Pelajar Sekolah
Berikut dikongsikan mengenai pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN 3.0 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Isi Kandungan
Pelaksanaan PLKN 3.0
Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dicadangkan akan bermula sekitar pertengahan tahun 2025, membabitkan fasa Pra PLKN di peringkat sekolah terlebih dahulu.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, PLKN di peringkat sekolah akan dimulakan pada pertengahan tahun hadapan iaitu Jun 2025 atau Julai 2025.
Modul yang digunakan untuk PLKN pada peringkat sekolah adalah dengan ketetapan pelaksanaan modul Generasi Madani iaitu GenMadani oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Format Baharu PLKN 3.0
PLKN 3.0 akan bermula pada pertengahan 2025 dan dilaksanakan secara berfasa bermula Jun / Julai 2025 dengan konsep dan format baharu.
Beberapa ciri penambahan yang baharu iaitu seperti siri latihan akan dibahagikan kepada dua (2) Fasa seperti berikut:
Fasa Pra PLKN | – Melibatkan pelajar sekolah menengah, iaitu pelajar Tingkatan 4. – Dilaksanakan di sekolah ketika aktiviti ko-kurikulum menggunakan modul GenMadani KPM. – Sebagai persiapan untuk menjalani khidmat negara selepas usia 17 tahun. |
Fasa PLKN Asas | – Melibatkan remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas. – Dijangka akan dilaksanakan pada April 2026. – Tempoh latihan PLKN 3.0 adalah selama 45 hari dan akan dilaksanakan di 13 kem Askar Wataniah, 20 Universiti Awam dan beberapa Politeknik terpilih. |
Fasa PLKN Asas
PLKN 3.0 yang bakal diperkenalkan tahun hadapan masih mengekalkan identiti program tersebut yang memfokuskan latihan asas kenegaraan dan asas ketenteraan kepada remaja.
Bagi Fasa PLKN Asas, program latihan adalah selama 45 hari di mana pengisian adalah terdiri dari
- Modul Asas Kenegaraan sebanyak 30% oleh Akademi Kenegaraan Malaysia dan
- Modul Asas Ketenteraan sebanyak 70% oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
Latihan yang bakal dilalui adalah secara intensif, lapangan dan praktikal.
Penerangan terperinci mengenai modul-modul yang bakal dipelajari oleh semua pelatih semasa program latihan nanti adalah seperti berikut:
Jenis Modul | Penerangan |
---|---|
Asas Kenegaraan | – Modul dibangunkan oleh KPM. – Modul mengandungi elemen jati diri, elemen cinta negara dan elemen perpaduan. |
Asas Ketenteraan | – Modul dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia. – Modul berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman, latihan berkumpulan, dan budaya kehidupan tentera seperti displin, ketetapan masa, tersusun dan mandiri. |
Program Perintis PLKN 3.0 Bermula Jun 2025
Projek rintis PLKN 3.0 yang akan bermula pada Jun 2025 nanti akan melibatkan 1,000 peserta di dua (2) Kem Wataniah dengan setiap kem akan dihadkan kepada satu (1) jantina sahaja.
Pelajar atau remaja yang terpilih untuk mengikuti program rintis ini akan dimaklumkan.
PLKN 3.0 Fasa Lanjutan
Menurut Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Fasa peringkat latihan lanjutan telah dibincang sama ada Kementerian perlu melihat kepada soal peluang dibuka, termasuk dari segi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada semua yang mengikuti PLKN.
Beliau percaya bahawa PLKN memang sangat positif dan akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, modul bagi setiap latihan khusus dibangunkan untuk PLKN 3.0 ini adalah amat sesuai untuk diserap masuk ke anggota angkatan tetap, angkatan simpanan dan sukarelawan.
PLKN 3.0 ini merupakan salah satu strategi menanam semangat patriotisme dan usaha yang berterusan untuk membentuk rizab modal insan yang bersedia digerakkan untuk apa-apa maksud pertahanan negara sekiranya diperlukan.