Program Subsidi Upah (PSU) 3.0
Program Subsidi Upah (PSU) 3.0
Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 adalah satu bentuk bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan yang memberi manfaat kepada pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah. Program ini dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Isi Kandungan
Program Subsidi Upah (PSU)
Kerajaan telah terlebih dahulu melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada tahun 2020. Kerajaan kemudian telah melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 dengan pengumuman pakej Kita Prihatin, juga di dalam tahun 2020. Kini, kerajaan telah mengumumkan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 di dalam Pakej Bantuan Khas Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada Januari 2021.
Matlamat utama kerajaan dalam melaksanakan PSU ini adalah untuk membantu para majikan yang terkesan pendapatan mereka akibat daripada wabak Covid-19. Ianya bagi memastikan majikan tersebut dapat meneruskan operasi perusahaan mereka, sekaligus mengelakkan daripada pekerja di bawah majikan tersebut hilang pekerjaan seterusnya mencacatkan ekonomi pekerja tersebut.
Bagi majikan yang ingin memohon Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 ini, permohonan bagi program ini telah pun dibuka. Perkara ini sudah dimaklumkan Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam ucapan beliau ketika membuat pengumuman mengenai beberapa pakej bantuan khas daripada kerajaan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Ketika Pembentangan Belanjawan 2021 pada November 2020, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa bantuan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 ini hanya akan memberi manfaat kepada sektor Pelancongan dan Peruncitan sahaja. Namun begitu, ketika Perdana Menteri mengumumkan pakej bantuan khas (PERMAI) pada 18 Januari baru-baru ini, penambahbaikan bagi bantuan ini telah dilakukan. Bantuan ini telah diperluaskan lagi di mana ianya akan memberi manfaat kepada semua sektor ekonomi yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Untuk pengetahuan semua, Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 telah berkuatkuasa bermula 19 Januari 2021.
Saiz Bilangan Tuntutan
Untuk rujukan semua, berikut adalah jadual saiz bilangan tuntutan pekerja yang boleh dibuat majikan, berdasarkan kepada saiz perusahaan majikan.
Sumber: FAQ Program Subsidi Upah 3.0
Syarat-Syarat Kelayakan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0
PERKESO telah menetapkan syarat-syarat kelayakan untuk permohonan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 ini seperti berikut:
- Majikan dan pekerja mestilah mendaftar dan mencarum dengan PERKESO sebelum 1 Januari 2021
- Pendapatan perniagaan mestilah menurun sebanyak 30% atau lebih jumlah jualan atau pendapatan bulanan 2020/2021 berbanding bulan yang sama pada tahun 2019 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan
- Tuntutan bantuan PSU ini, para pekerja mestilah bergaji RM4,000 dan ke bawah sahaja
- Majikan mestilah telah mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum 1 Januari 2021
- Permohonan bantuan PSU 3.0 (PERMAI) ini hanya layak kepada perniagaan yang berada di negeri di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
- Majikan perlu mengekalkan pekerja yang bergaji bawah RM4,000 dan waktu bekerja di kurangkan atau penurunan gaji selepas perundingan dengan pekerja terbabit
Terdapat beberapa sebab yang digariskan oleh PERKESO bagi majikan dan pekerja yang tidak layak untuk memohon Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 ini seperti di bawah:
- Majikan atau perusahaan yang mendaftar SSM/ROS/ROB/PBT atau lain-lain pertubuhan dan beroperasi pada atau selepas 1 Januari 2021
- Majikan dan Pekerja yang belum berdaftar atau mencarum dengan PERKESO sebelum 1 Januari 2021
- Majikan atau perniagaan yang bukan beroperasi di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
- Majikan yang tidak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)
- Pekerja yang telah di gajikan di bawah Program Penjana Kerjaya (Hiring Incentive)
- Pekerja yang telah di berhentikan kerja
- Bergaji RM4,000 dan ke atas
- Pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate)
Cara-Cara Membuat Permohonan
Program Subsidi Upah (PSU) 3.0
Permohonan untuk Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 boleh dibuat secara atas talian (online). Maklumat yang diberikan haruslah dipastikan benar dan tepat sebelum permohonan dihantar. Berikut adalah langkah-langkah membuat permohonan:
- Sila Layari portal rasmi PERKESO : https://prihatin.perkeso.gov.my/
- Sila klik “Permohonan & Semakan” di bahagian PSU
- Klik butang “Permohonan PSU”
- Pilih negeri perniagaan beroperasi – klik “Halaman Seterusnya”
- Isi maklumat yang diperlukan dengan betul dan lengkap
- Muat naik segala dokumen sokongan
- Setelah siap, klik “Hantar”
Dokumen Sokongan
Berikut adalah senarai dokumen sokongan yang perlu disediakan majikan, dan dimuat naik ketika mengisi permohonan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 secara atas talian:
- Senarai nama pekerja (mengikut had kelayakan saiz perusahaan)
- Maklumat akaun bank majikan (salinan muka depan penyata bank sahaja)
- Maklumat mengenai Nombor Pendaftaran Perniagaan ataupun Business Registration Number (BRN) yang di daftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun bank (Rujuk pihak bank dan pastikan No BRN dan No akaun adalah tepat bagi mengelakkan sebarang kesulitan)
- Salinan pendaftaran SSM/ROS/ROB/PBT atau lain-lain pertubuhan
- Akuan Pengisytiharan PSU 3.0
Soalan Lazim PSU 3.0
Berikut adalah beberapa soalan lazim berkenaan dengan PSU 3.0:
- Ketika pembetangan Belanjawan 2021 lalu, kadar bayaran bagi PSU 3.0 ini adalah sebanyak RM600 bagi seorang pekerja.
- Tempoh pelaksanaannya adalah selama 1 bulan sahaja yang berkuatkuasa mulai 19 Januari 2021
- Tarikh tutup permohonan PSU 3.0 ini kini di lanjutkan sehingga hujung Jun 2021
Anda juga boleh muat turun soalan lazim dan maklumat mengenai Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 ini di pautan ini: SOALAN LAZIM PSU 3.0.
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan mengenai Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 boleh diajukan kepada PERKESO melalui emel [email protected] atau hubungi talian 1-300-22-8000.
Untuk sebarang aduan berkenaan permohonan pula, anda boleh klik pautan ini: https://eaduansip.perkeso.gov.my/.
Penutup
Akhir kata, dengan perkongsian tentang Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 ini, pihak majikan dan pekerja dapat menerima sedikit sebanyak maklumat mengenai bantuan-bantuan diberikan kerajaan bagi membantu perusahaan di Malaysia, terutama di dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang.
Untuk mendapatkan lebih banyak info terkini, anda boleh klik pautan ini: t.me/tcerdotmy
Artikel berkaitan:
PERMAI | Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia 2021
GKP 3.0 (Geran Khas Prihatin 3.0) | PERMAI 2021