Puasa Syawal: Puasa Enam (6) Hari Pahala Umpama Puasa Setahun

Berikut dikongsikan sedikit perkongsian mengenai puasa enam pada bulan Syawal untuk rujukan utama umat Islam di luar sana.
Isi Kandungan [show]
Apa Itu Puasa Enam?
Bermula setengah daripada puasa-puasa sunat itu ialah puasa Syawal iaitu berpuasa oleh seseorang akan enam (6) hari di dalam bulan Syawal dan puasa ini juga dikenali dengan sebutan puasa enam.
Jumhur fuqahak berjalan kepada bahawasanya hukum puasa Syawal ini adalah sunat. Tersebut pada Kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah:
ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ الْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ وَمُتَأَخِّرُو الْحَنَفِيَّةِ إِلَى أَنَّهُ يُسَنُّ صَوْمُ سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ بَعْدَ صَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Telah berjalan oleh jumhur fuqahak mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali dan ulamak mutaakhirin mazhab Hanafi kepada bahawasanya disunatkan puasa enam hari daripada bulan Syawal selepas berpuasa Ramadan.”
Hukum melaksanakan puasa 6 Syawal adalah sunat. Berkata Imam Nawawi:
يُسْتَحَبُّ لِمَنْ صَامَ رَمَضَانَ أَنْ يُتْبِعَهُ بِسِتَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ
Maksudnya: “Disunatkan bagi siapa yang telah berpuasa Ramadan dia ikutkan pula dengan berpuasa enam hari daripada bulan Syawal.”
(Kitab Al-Majmu’)
Setelah selesai melaksanakan puasa Ramadan, umat Islam sangat digalakkan untuk mengambil peluang menunaikan puasa 6 Syawal kerana banyak kelebihan dan fadhilatnya.
Cara Melaksanakan Puasa Enam Syawal
Puasa 6 di bulan Syawal boleh dilakukan secara secara berselang-seli, berturut-turut atau mana-mana hari dalam bulan tersebut selain hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
Tetapi cara yang paling afdhal adalah berturut-turut selepas hari pertama bulan Syawal (iaitu mulai 2 Syawal).
Ini kerana, melewatkannya akan menimbulkan rasa malas sedangkan bersegera melakukan ibadah adalah afdhal.
Lafaz Niat Puasa Enam Syawal
Lafaz niat puasa 6 di bulan Syawal adalah seperti berikut:
نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى
Bacaan Rumi: Nawaitu souma ghodin ‘an sittatin min syawwalin sunnatan lillahi taala.
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa pada esok hari dari enam hari pada bulan Syawal sunat kerana Allah Ta’ala.”
Seterusnya, jika anda ingin menggabungkan niat puasa 6 dan puasa ganti (qadha Ramadan) anda boleh rujuk DISINI.
Kelebihan Puasa Enam Syawal
Antara kelebihan puasa enam pada bulan Syawal adalah seperti berikut:
- Pahala sama dengan berpuasa setahun, iaitu pahala seperti berpuasa selama 365 hari.
- Puasa pada bulan Syaaban dan Syawal menyempurnakan puasa Ramadan.
- Dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Bukti syukur kita kepada Allah SWT.
- Bukti keikhlasan amal soleh sepanjang bulan Ramadan.
Puasa Enam Syawal Umpama Berpuasa Setahun
Allah SWT mengurniakan umat Nabi Muhammad SAW kelebihan memperolehi ganjaran umpama berpuasa setahun apabila melaksanakan 6 hari puasa sunat dalam bulan Syawal setelah berpuasa dengan bersungguh-sungguh di bulan Ramadan.
Oleh itu, marilah kita semua rebut peluang untuk melaksanakan ibadah ini, mudah-mudahan amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Semoga sedikit perkongsian mengenai puasa enam di bulan Syawal ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana.
Selamat berpuasa! Jangan lepaskan peluang untuk memperoleh pahala umpama berpuasa setahun ini!