Punca Lupa Rakaat Ke Berapa Dalam Solat Sama Ada 1, 2, 3, 4
Punca Lupa Rakaat dalam Solat. Bila masa hendak solat Maghrib, Isyak,Zohor atau Asar kebiasaannya, penulis sendiri akan ada masalah ‘lupa’ dah rakaat ke berapa? Dah berapa rakaat? Kalau solat Subuh memang jaranglah lupa, sebabnya hanya dua rakaat.
Bagaimana dengan anda? Pernah tak semasa anda tengah solat, anda lupa berapa rakaat yang anda sudah kerjakan? Situasi menjadi lebih parah bila kita lupa rakaat solat masa tengah jadi imam.
Isi Kandungan
Punca Lupa Rakaat
Tahukah anda?Rupanya ianya adalah disebabkan syaitan Khanzab.
Kerja syaitan Khanzab
Untuk pengetahuan anda, semasa kita sedang solat pun, kita terdedah kepada gangguan syaitan sebenarnya. Dah nama pun syaitan, tugas mereka adalah menyeru kepada kejahatan dan jauh daripada segala kebaikan.
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا
Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya”. [al-An’am:112]
Salah satu modus operandi syaitan untuk membuatkan kita jauh daripada kebaikan adalah menganggu kekhusyukan solat kita. Dan inilah tugas syaitan yang bernama Khanzab.
Rasulullah SAW pernah menceritakan kepada sahabatnya, Uthman bin Abi al-Asr mengenai Khanzab:
يَا رَسُوْلَ اللهِ . إنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ صَلَاتِيْ وَقِرَاءَتِيْ . يُلَبِّسُهَا عَلَيَّ . فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” ذَاْكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ . فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْهُ . وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلَاثًا ” فَقَالَ : فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَهُ اللهُ عَنِّيْ “.
Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, aku sering diganggu oleh syaitan dalam solat sehingga bacaanku (bacaan dalam solat) menjadi kacau. Maka Rasulullah SAW bersabda: Itu adalah syaitan yang digelar Khanzab maka apabila engkau diganggu, mohonlah perlindungan kepada Allah SWT daripadanya. Setelah itu, ludahlah di bahagian kirimu sebanyak tiga kali. Aku pun melakukan hal tersebut, maka sejak dari itu Allah SWT telah menghilangkan gangguan tersebut daripadaku”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 4083]
Jika kita tak khusyuk dalam solat, selalu khayal, selalu lupa rakaat solat dan selalu was-was keluar angin (kentut) atau tidak – ketahuilah anda bahawa itulah dia tugas Khanzab.
Semasa solatlah kita teringat nak buat itu, ini. Semasa solatlah kita ada idea nak buat itu, ini. Jika fikiran anda menerawang ketika solat, ketahuilah bahawa anda sebenarnya sedang diganggu oleh syaitan Khanzab.
Bila kita tak khusyuk dalam solat, tapi mulut dok terkumat-kamit membaca bacaan solat, ketahuilah bahawa Syaitan Khanzab sedang menggelakkan kita.
Cara nak halau syaitan Khanzab
Sebagaimana yang telah diberitahu Rasulullah SAW kepada Uthman bin Abi al-Asr, baginda menyarankan kita membuat perkara berikut untuk menghalau syaitan Khanzab.
- Baca ta’awuz (أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ), kemudian ludah ke bahagian kiri kita sebanyak tiga kali. (Nota: ludah setakat isyarat sahaja, jangan ludah betul-betul)
- Teruskan bacaan solat kita.
Was-was kentut batal solat atau tidak?
Jika gangguan Khanzab membuatkan kita was-was sama ada dah kentut atau tak, Rasulullah SAW ada berpesan mengikut hadis riwayat Abbad bin Tamim.
Dalam hadis riwayat ini terdapat seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang was-was kentut atau tidak di dalam solatnya. Maka jawab baginda:
لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
Maksudnya: Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.
Jadi kalau tiada bau dan bunyi, dan lebih kepada was-was semata-mata, boleh dikira bahawa itu itu bukan kentut.
Lupa sujud Sahwi?
Kadang-kala, kita juga mungkin pernah terlupa nak sujud sahwi selepas terlupa rakaat solat. Dalam hal ini, jika terlupa hukumnya adalah dimaafkan. Malah jika kita mengikuti imam, dan imam terlupa bilangan rakaat solat dan lupa sujud sahwi, solat imam tidak batal.
Ini juga kerana hukum asal sujud sahwi adalah sunat. Hal ini sepertimana disebut dalam firman Allah SWT:
عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ
Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.”
(Surah al-Maidah: 95)
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.
kredit : Rencah