Semua Pusat Beli-belah, restoran diarah tutup sehingga 21 Mei di Mesir
KAHERAH: Mesir menutup semua pusat beli-belah dan restoran selain melarang sambutan Aidilfitri bagi mengekang peningkatan penularan kes COVID-19.
Arahan penutupan itu bermula jam 9 malam hari ini sehingga 21 Mei ini.
Perdana Menteri, Mostafa Madbouli, berkata Mesir kini berdepan gelombang ketiga pandemik COVID-19 dan menggesa rakyat supaya mematuhi garis panduan kesihatan serta segera mendaftar bagi mendapatkan vaksin.
Katanya, Mesir merekodkan hampir 232,000 kes positif dengan lebih 13,000 kematian setakat ini.
“Kita bertanggungjawab bukan saja kepada diri sendiri, malah keluarga.
“Kita kini berada pada tahap kritikal,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan cuti Aidilfitri akan disambut mulai 12 hingga 16 Mei ini.
Bagaimanapun, Madbouli berkata, pantai, taman dan kemudahan rekreasi akan ditutup sepanjang cuti lima hari terbabit.
Katanya, sebarang penganjuran konsert atau majlis besar-besaran seperti acara perkahwinan tidak akan dibenarkan.
Beliau bagaimanapun berkata, umat Islam dibenarkan menunaikan solat Aidilfitri di masjid terpilih.
Katanya, kira-kira 1.7 juta individu didenda sejak beberapa bulan lalu kerana tidak memakai pelitup muka, selain ratusan kelengkapan menghisap shisha dirampas.
Mesir dijangka menerima sejumlah 4.9 juta dos vaksin COVID-19 bulan ini.
Sumber Berita Harian
Artikel lain: Program Jaringan Prihatin B40 dan Cara Pendaftaran, Bantuan RM500 Untuk Penjaja / Peniaga Bazar Ramadan Selangor