RAMAI SALAH FAHAM TENTANG GERAK MALAYSIA 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan aplikasi ‘Gerak Malaysia’ bagi mengesan pergerakan rakyat Malaysia dalam usaha mengawal penularan COVID-19.
Ia dihasilkan bagi membantu pihak berkuasa mengesan dan menganalisis pergerakan rakyat Malaysia sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, serta selepas perintah itu ditamatkan.
Maklumat pengguna yang diberikan dalam aplikasi itu akan digunakan bagi mengesan individu yang diarah menjalani kuarantin atau memerlukan rawatan, serta memaklumkan sama ada mereka adalah kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
Pengguna hanya perlu memberikan beberapa maklumat seperti nama penuh, alamat, nombor kad pengenalan dan e-mel, serta membenarkan aplikasi itu mengesan lokasi, sebelum ia menjana satu kod QR khas kepada setiap pengguna.
Gerak Malaysia
Aplikasi itu menyatakan: “Kod QR ini akan digunakan pada masa depan bagi membenarkan pergerakan ketika dan selepas pelaksanaan PKP.”
Aplikasi yang dimiliki sepenuhnya oleh SKMM itu dilihat masih berada pada peringkat percubaan, dan tiada fungsi lain yang boleh digunakan buat masa ini.
Bagaimanapun, syarat penggunaan aplikasi itu menyatakan fungsinya iaitu bagi membantu memudahkan pengguna yang memiliki dokumen kebenaran pergerakan ketika tempoh PKP.
Selain itu, aplikasi itu juga membolehkan pengguna membuat permohonan kecemasan seperti bekalan makanan dan perubatan. Fungsi ini berkemungkinan khusus bagi individu di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Fungsi lain aplikasi itu adalah memberi maklumat terkini kepada pengguna berhubung lanjutan PKP, berita dan statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Syarat penggunaan itu turut memaklumkan bahawa perkhidmatan dan data dalam aplikasi Gerak Malaysia hanya bagi tempoh pelaksanaan PKP serta enam bulan selepas perintah itu berakhir.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 300,000 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia dalam tempoh 12 jam ia dilancarkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah berkenaan 100,000 pemohon adalah untuk mendapatkan permit perjalanan rentas negeri (Inter-state).
Penggunaan aplikasi Gerak Malaysia yang dimuat turun dalam telefon bimbit bagi mereka yang ingin pulang ke kota menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen.
“Mereka ini adalah yang terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing ekoran pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
“Saya dah buat kemas kini GerakMalaysia tetapi sampai saat ini kod QR belum dapat lagi.
“Saya dah risau saya nak balik rumah kerana terkandas di sini satu bulan lebih,” katanya.
Alepp Ismail turut senada mengatakan yang dia sudah sebulan lebih tidak dapat pulang ke rumah sendiri.
“Aplikasi Gerak Malaysia bila akan update (dikemas kini), saya dah sebulan terperangkap dekat Kuala Lumpur, nak balik ke rumah sendiri,” katanya.
Nuraidah Samsee pula terkilan kerana tiada maklumat terkini mengenai pergerakan rentas negeri.
“1 Mei esok tapi tak dapat apa-apa maklum balas walaupun sudah membuat permohonan,” katanya.
Terdapat juga beberapa individu yang sudah mengemas barang dan membeli keperluan dapur untuk dibawa pulang.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai yang berada di kampung dan berhasrat untuk pulang ke ibu kota boleh mendaftar diri melalui aplikasi Gerak Malaysia, bermula 25 April.
Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
“Keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei selepas mendapat kelulusan MKN atas nasihat KKM.
“Buat masa ini, kerajaan tidak memberi sebarang jaminan (mengenai) pergerakan memandangkan kita menunggu laporan (daripada pendaftaran) yang akan bermula 25 April ini.
“Waktu itu (25 April) nanti kita boleh tengok seramai mana orang yang mahu pulang. Kemudian baru kita boleh merancang dan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kita akan kaji dahulu buruk dan baiknya dan lebih penting kita kena dapatkan nasihat KKM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, lebih 500,000 individu membuat pendaftaran aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dengan lebih 250,000 daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri setakat Isnin lalu.
Sumber : berita harian, harian metro