Salurkan RM78,000 hasil jualan kereta ke pusat tahfiz
Hasil jualan kereta disalurkan ke pusat tahfiz. Seorang pengusaha pasar raya menyumbangkan RM78,000 hasil jualan keretanya kepada sebuah pusat tahfiz di Lanchang.
Kereta jenis Honda Ek9 vtec turbo milik Abdul Rahman Mat Isa, 31, dari Karak itu berjaya dijual kepada pemilik kereta terpakai dari Shah Alam pada Isnin.
Hasrat murni lelaki tersebut tular di laman sosial Facebook sejak Selasa dan mendapat pujian netizen.
Rakan baik Abdul Rahman, Mohd Nizam Hashim, 31, memberitahu, rakannya telah menyatakan hasrat untuk menjual kereta tersebut dengan menyumbangkan hasil jualan sepenuhnya kepada pusat tahfiz Kampung Dala, Lanchang.
Menurutnya, kereta itu adalah keluaran tahun 1993 namun telah banyak dilakukan pengubahsuaian.
HASIL JUALAN KERETA DIGUNA UNTUK BANTU PUSAT TAHFIZ YANG DIMUSNAHKAN BANJIR
“Ikutkan kereta itu boleh dijual hingga RM100,000 namun beliau niat untuk jual sahaja pada harga RM75,000 dan telah menjadi rezekinya apabila pembeli tambah lagi RM3,000 menjadikan jumlah RM78,000.
“Niat rakan saya untuk membantu pusat tahfiz itu yang musnah teruk akibat banjir baru-baru ini dan sebelum ini Abdul Rahman pernah turun padang membantu kerosakan di pusat tahfiz tersebut,”
Tambahnya, selepas iklan menjual kereta terbabit dimuat naik di laman Facebook miliknya, beliau mendapat panggilan bertalu-talu untuk membeli kereta terbabit.
“Namun pembeli dari Shah Alam yang berminat itu terus memindahkan wang dan kereta itu pun terjual,” ujarnya.
Menurutnya, hasil jualan itu akan diserahkan kepada pusat tahfiz tersebut dalam tempoh terdekat.