Jual Sate Ayam 40 Sen Secucuk, Peniaga “Beramal Sambil Berniaga”
Sate Ayam 40 Sen Secucuk masih wujud di Jalan Kampung Padang, Jitra.
Menurut Sinar Harian, seorang peniaga masih lagi menjual sate ayam dengan harga 40 sen secucuk di Jalan Kampung Padang walaupun peniaga lain menjual dengan harga 80 sen hingga RM1 secucuk untuk menampung kos operasi.
Muhammad Khairul Fikri Abdul Kadirl, 30, berkata dia menawarkan harga itu di gerai Sate Batas Ban miliknya sejak enam bulan yang lalu.
Dia yang lebih gemar digelar Khairul itu memberitahu bahawa sate ayam 40 sen secucuk itu adalah sate ayam yang sudah siap dibakar.
Selain itu, harga untuk sate daging pula ialah 70 sen secucuk.
Isi Kandungan
Sate Ayam 40 Sen Secucuk, Tidak Mahu Bebankan Pelanggan
“Saya mengambil pendekatan menjual sate pada harga yang murah kerana ingin beramal sambil berniaga untuk memberi peluang kepada semua golongan terutamanya yang berpendapatan rendah menikmati sate. Walaupun sedikit namun keuntungan yang diperoleh sekurang-kurangnya memberi rezeki dan menampung perbelanjaan seharian saya,” katanya.
Menurutnya lagi, dia menjual sate dengan harga yang murah kerana tidak mahu membebankan pelanggan memandangkan ada yang kurang berkemampuan dan mempunyai anak yang ramai.
“Sebelum ini, saya menjual sate ayam pada harga 30 sen secucuk di gerai lama di lokasi lain namun terpaksa menaikkan kepada 40 sen secucuk disebabkan kenaikan kos,” katanya.
Tambahnya yang dibantu tiga pekerja, dia tidak menyangka jualan sate itu mendapat perhatian sehingga mampu menghasilkan 500 hingga 600 cucuk sehari.
“Alhamdulillah, saya bersyukur gerai sate dibuka bermula jam 4 petang hingga 9 malam hampir setiap hari mendapat sambutan masyarakat setempat,” kata Khairul lagi.
Sate Murah Mendapat Sambutan Baik
Selain Khairul, terdapat seorang lagi peniaga yang menjual sate dengan harga yang murah.
Muhammad Zaidi Baharom, 42, dari gerai Port Sate Bakaq di lokasi berhampiran di Jalan Kampung Padang turut menjual sate ayam 40 sen secucuk dan sate daging 70 sen secucuk.
Dia berkata, dia menjual sate pada harga yang murah agar dapat berkongsi rezeki dengan pelanggan dan sekali gus meneruskan kelangsungan hidup.
“Alhamdulillah, sambutan baik sehingga saya mampu menjual sehingga 1,000 cucuk sate ayam sehari,” kata Zaidi yang dibantu oleh empat pekerjanya.
Di samping itu, sate daging pula dijual sebanyak 250 cucuk sehari, tetapi masih rendah berbanding di kawasan lain.
“Sebelum ini, saya membuka sebuah kedai makan sebelum terpaksa menutup premis ketika pandemik Covid-19 lalu. Saya jual sate sejak tiga tahun lepas di lokasi lain,” tambahnya.
Muhammad Zaidi yang merupakan bapa kepada lima orang anak itu berkata, pelanggan boleh menempah sate dengan minimum 2,000 cucuk untuk majlis dan kenduri, selain mendapatkan sate di gerainya.
Harapan Penulis
Sebelum ini adakah anda tahu sebenarnya masih wujud harga sate ayam yang hanya 40 sen secucuk?
Diharapkan dengan perkongsian info ini dapat menyedarkan anda bahawa sebenarnya masih wujud harga sate yang murah dan boleh membantu mereka yang menginginkannya.
Ayuh, ramai-ramai kita support penjual-penjual Sate Ayam 40 Sen Secucuk ini!
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan lagi info-info yang menarik di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala informasi yang tepat dan sahih untuk anda.