Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Keutamaan Sayyidul Istighfar (Penghulu Segala Istighfar) : 7 Kelebihan Mengamalkannya

Tahukah anda Sayyidul Istighfar mempunyai kelebihan yang sangat besar jika kita mengamalkannya. Di dalam kehidupan ini, kita perlulah perbanyakkan beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada – Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan.

Isi Kandungan

Apa yang dimaksudkan dengan Sayyidul Istighfar?

Sayyidul Istighfar berisi tentang pengakuan dan permohonan ampun seorang hamba akan dosanya. Ianya merupakan salah satu doa ataupun ucapan taubat yang digalakkan. Sebagai seorang muslim dan hamba Allah yang sering lalai dan melakukan dosa, hendaklah kita sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT melalui istighfar. Ketahui bahawa Sayyidul istighfar ini juga merupakan salah satu bacaan istighfar yang sangat istimewa.

Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [Riwayat al-Bukhari (6306)]

Berdasarkan hadith yang disebutkan di atas, dikatakan bahawa Sayyidul Istighfar ini dikenali sebagai penghulu segala istighfar. Ini kerana di dalam Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar menaqalkan perkataan Ibn Jamrah yang mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar. Di samping itu juga, terdapat padanya ikrar kepada Allah yang Esa akan keEsaan-Nya dan juga Ubudiyyah kepada-Nya (yang hanya berhak disembah). Tambahan pula, di dalamnya terdapat pengiktirafan (daripada hamba) bahawa Allah adalah pencipta dan beriqrar dengan janji yang diambil oleh Allah ke atasnya.

Selain itu, berserah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya serta memohon perlindungan (daripada Allah) dari segala kejahatan yang dilakukan oleh seseorang hamba itu terhadap dirinya. Di dalamnya juga terdapat sandaran kesenangan kepada pencipta-Nya dan juga sandaran dosa kepada diri pelakunya serta keinginannya untuk memohon ampun dan pengiktirafan akan dosa yang telah dilakukannya bahawa tiada yang mampu untuk mengampunkan dosa-dosa tersebut melainkan Allah SWT. [Lihat: Fath al-Bari, 100/11]

Doa Sayyidul Istighfar

sayyidul istighfar
Doa Sayyidul Istighfar

Dalam Rumi : Allaahumma Anta Rabbii Laa ilaaha illaa Annta Kholaq-tanii Wa Anaa ‘Abduka Wa Anaa ‘Ala ‘Ahdika Wawa’ Dika Mas-tatha’-tu Auudzu-bika Min Syarrimaa Sona’-tu Abuu-U Laka Bini’matika ‘Alayya Wa Abuu-U Bidzanmmbi, Faghfirlii Fainnahu Laa Yagh-Firudz-zunuuba Illaa Annta. 

Maksudnya : Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.

sayyidul istighfar

Kelebihan Mengamalkan Doa Sayyidul Istighfar

Di sini kami akan kongsikan 7 kelebihan mengamalkan doa Sayyidul Istighfar ini bagi sesiapa yang beristiqomah dalam mengamalkannya :

  • Allah akan janjikannya Syurga
Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadith yang sama:
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.
  • Diampunkan segala dosa dosanya

 Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak pernah meninggalkan istighfar ini. Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. 
[Riwayat al-Bukhari (6307)]
  • Dicintai oleh Allah SWT

Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang mensucikan diri.” (QS.al-Baqarah: 222).

Benarlah, Allah suka terhadap orang yang beristighfar dan memohon ampun pada Allah kerana dalam istighfar itu terkandung makna bahawa manusia ingin menjadi lebih baik iaitu ketika mana seseorang itu mengakui kesalahan yang telah terjadi dan berniat untuk tidak lagi mengulanginya.

  • Dijauhkan daripada azab api neraka

Firman Allah seperti termaktub dalam QS. Al-Anfal ayat 33: ”Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun.”

Keutamaan orang yang memohon ampun pada Allah SWT adalah dapat terhindar dari azab. Ini kerana, Allah tidak akan mengazab umatnya yang bertaubat dan memohon ampun.

  • Dilancarkan rezekinya
Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [Riwayat Abu Daud (1518)][Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi]

Menurut Syeikh Muhsin al-‘Abbad al-Badr ketika mensyarahkan hadith ini berkata:

“Walaupun hadith ini dhaif dari sudut sanadnya  tetapi maknanya terdapat di dalam al-Qur’an ketika membahaskan berkaitan taqwa di dalam surah al-Thalaq 2 hingga 3. Selain itu, di dalam al-Qur’an juga menyatakan bahawa istighfar merupakan sebab mendapat rezeki sebagaimana di dalam surah Nuh ayat ke 10 hingga 12”.

  • Dapat membersihkan hatinya yang penuh dosa dan noda

Istighfar dapat membersihkan hati kita kerana terdapat banyak hal yang dapat menyebabkan hati kita menjadi kotor. Jadi dengan beristighfar inilah diharapkan hati kita menjadi bersih.

Seperti dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda,”Apabila seorang mukmin melakukan suatu dosa, maka tercoretlah noda hitam di hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, maka bersihlah hatinya.”(HR.Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Tirmidzi).

  • Diberikan ketenangan dan kelapangan jiwa

Istighfar adalah bentuk pengakuan atas segala dosa dan kesalahan yang kita buat. Namun, hanya dengan memohon ampunan-Nya, batin kita boleh menjadi tenang.

Kesimpulan

Membaca Sayyidul Istighfar ini perlu kita biasakan pada setiap hari, agar kita menjadi orang yang beruntung kerana diampuninya dosa kita oleh Allah SWT. Sedar tak sedar juga tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita bakal menempuh bulan penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Ada ulama’ membuat perumpamaan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita masuk ke gelanggang atau peperangan amal ibadah selelah kita berlatih di dalam bulan Rejab dan Syaaban. Amalkan lah Sayyidul Istighfar ini untuk tingkatkan amalan ibadat kita pada bulan mulia yang bakal mendatang ini.

sayyidul istighfar

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More