Maksud Sekufu Dalam Perkahwinan, Kenapa Perlu Pilih Pasangan Sekufu?
Berikut dikongsikan mengenai konsep sekufu dalam Islam yang sering disebut-sebutkan oleh masyarakat disekeliling kita mengenai sebuah perkahwinan.
Isi Kandungan
Maksud Sekufu
Kufu atau kafa’ah dari sudut bahasa bermaksud kesepadanan, setaraf atau sama.
Dari sudut istilah pula kufu bermaksud kesepadanan calon suami dan calon isteri yang akan berkahwin bagi membina sebuah rumah tangga.
Istilah ini muncul di dalam beberapa hadis daripada Rasulullah SAW.
Salah satu hadis yang menyebut tentang sekufu ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi yang bermaksud:
“Wahai Ali, ada tiga perkara yang jangan kau tunda perlaksanannya, iaitu solat apabila telah tiba waktunya, pegebumian jenazah apabila telah siap penguburannya, dan wanita apabila telah menemukan jodohnya yang sekufu / sepadan.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Berdasarkan hadis yang telah dinyatakan diatas, maka jelaslah bahawa Islam sangat menggalakkan kita untuk berkahwin dengan calon yang sekufu.
Walaupun ia bukanlah suatu rukun nikah tetapi ia akan memberi keselesaan dan keharmonian di dalam rumah tangga yang bakal dibina kelak.
Menurut Iman Syafie, sekufu terbahagi kepada enam aspek iaitu
- Islam,
- merdeka,
- agama,
- keturunan,
- kerjaya, dan
- sejahtera daripada sebarang kecacatan.
Malah ada sebahagian daripada Fuqaha Mutaakhirin (pandangan kumpulan ulama Syafie yang terkini) mengambil kira bahawa usia juga termasuk di dalam aspek sekufu.
Mereka menghukum bahawa seorang gadis remaja adalah tidak sekufu dengan seorang lelaki yang sudah tua dan berusia.
Namun menurut Imam Syafie, perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram.
Oleh sebab itu, beliau sendiri tidak menolak perkahwinan seperti itu tetapi memandangkan ianya suatu keredhaan kepada calon isteri dan walinya.
Hal ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.”
Riwayat Al-Hakim (2/163)
Imam Syafie menghukumkan sahnya perkahwinan tersebut bergantung kepada keredhaan keduanya. Jika keduanya redha menerima ketidak sekufuan itu, maka perkahwinan tersebut adalah sah di sisi Islam.
Jenis Sekufu Pada Pandangan Masyarakat
Berikut antara jenis-jenis maksud sekufu bagi sesetengah masyarakat di antara kita.
Sekufu Dari Segi Harta
Sebahagian orang ada yang berpandangan bahawa harta memainkan peranan penting dalam memilih pasangan yang sama taraf. Orang kaya biasanya mencari pasangan orang yang kaya juga seperti cerita bangsawan dahulu kala. Tetapi, ada sahaja sesetengah pihak yang tidak mementingkan harta malah sama-sama berusaha untuk mencari rezeki selepas bernikah bersama pasangannya.
Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat yang miskin dan tidak memiliki banyak harta bernama Zubair bin Awwam R.A. yang berkahwin dengan Asma’ Binti Abu Bakar R.A.
Asma’ R.A. berasal daripada keluarga yang sangat kaya, iaitu keluarga Abu Bakar R.A. Seperti kita tahu, dengan kekayaannya yang melimpah ruah sebagai saudagar yang jujur, Abu Bakar R.A. pernah menginfakkan seluruh hartanya semasa perang Tabuk.
Ketika menikah dengan Asma’ R.A, Zubair R.A. hanya memiliki harta yang berupa seekor kuda. Namun demikian, keluarga mereka tumbuh menjadi keluarga yang barakah dengan izin Allah SWT. Pada mulanya, Asma’ R.A bersama Zubair R.A. hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Namun selepas itu, Zubair R.A. berubah menjadi orang yang kaya raya.
Sekufu Dari Segi Usia
Di dalam pemikiran masyarakat kita, usia yang sekufu bagi pasangan yang mahu bernikah mestilah sama atau di dalam lingkungan umur yang tidak terlalu jauh bezanya. Tetapi, ada sahaja sesetengah pihak yang tidak mementingkan usia malah bahagia sahaja dengan pasangannya.
Sebagai contoh, Rasulullah SAW menikah kali pertama dengan Siti Khadijah R.A. ialah ketika Rasulullah SAW berumur 25 tahun sedangkan Siti Khadijah R.A. pula berumur 40 tahun (mengikut sebahagian pendapat ulama). Walaupun ulama berbeza dalam isu umur Siti Khadijah R.A. ini, namun tetap ada pendapat daripada kalangan ulama yang menyatakan umur Siti Khadijah R.A. pada ketika itu adalah 40 tahun.
Contoh lain, perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Aisyah R.A. iaitu puteri kepada Saidina Abu Bakar R.A. pula beza umur antara baginda dengan Saiditina Aisyah R.A. juga adalah agak jauh. Rasulullah SAW berkahwin dengan Saiditina Aisyah R.A. ketika beliau masih muda. Namun, perkahwinan itu terdapat banyak kisah romantik yang diceritakan sendiri oleh Saiditina Aisyah R.A. seperti berlumba lari dengan baginda dan sebagainya yang boleh menjadi ikutan bagi pasangan yang sudah berumah tangga.
Sekufu Dari Segi Rupa Paras
Tidak kurang juga, dalam masyarakat kita hari ini ada yang menganggap sekufu adalah daripada aspek rupa paras semata-mata. Lelaki yang tampan adalah hanya untuk perempuan yang cantik dan begitulah sebaliknya pada pandangan mereka. Tetapi, ada sahaja sesetengah pihak yang tidak mementingkan paras rupa malah saling melengkapi antara satu sama lain.
Sebagai contoh, Rasulullah SAW sendiri adalah seorang lelaki yang boleh dikatakan lelaki tampan. Bentuk fizikal tubuh badan Rasulullah SAW adalah tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Apabila melihat wajah baginda ada nur (cahaya). Malah, perut baginda juga tidak buncit dan dadanya bidang. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Abu Daud.
Al-Bara’ bin ‘Azib berkata:
“Rasulullah SAW merupakan seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambutnya yang lebat terurai ke bahu sampai ke telinganya. Apabila baginda memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)
Namun adakah semua isteri-isteri Rasulullah SAW itu cantik? Tidak.
Malah, sebahagian isteri-isteri baginda adalah daripada golongan janda dan berumur. Cantik itu adalah subjektif sifatnya. Pada sesetengah orang, perempuan yang dilihatnya adalah cantik namun tidak pada sebahagian yang lain. Begitu jugalah sebaliknya.
Penutup
Kesimpulannya, sekufu adalah penting dan diperlukan bagi menjamin keharmonian rumah tangga kerana ia adalah garis panduan bagi mendapatkan pasangan yang terbaik disisi syarak dan lebih bersifat adil bagi pasangan yang ingin menikah.
Namun, jika kedua-dua calon saling redha meredhai dan ingin meneruskan perkahwinan, maka ia bukanlah suatu kesalahan atau dosa.
Pada pandangan mazhab Syafie, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan bukannya syarat sah perkahwinan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!