Semak Status Bantuan Prihatin Nasional Untuk Pelajar Tingkatan 6, Diploma & IPT
Bantuan Prihatin Nasional kini boleh di semak! Bagaikan bulan jatuh ke riba. Ramai pelajar yang rasa lega dengan pengumuman ini. Dijangka 1.2 juta pelajar IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti akan menerima bantuan ini. Sementara itu, 0.1 juta peljar Tingkatan 6 dan Matrikulasi juga akan menerima manfaat ini. Tidak dilupakan, lebih kurang 0.2 juta pelajar diploma atau setara termasuk TVET SKM4 dan ke atas juga akan diberikan bantuan. Walaupun tidaklah banyak mana, setidak-tidaknya, dapat membantu mereka untuk meneruskan kehidupan di IPT.
Salah satu langkah PRIHATIN yang diumumkan YAB Perdana Menteri pada 27 Mac 2020 adalah bantuan secara one-off RM200 kepada setiap pelajar sepenuh masa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) meliputi pelajar matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik serta Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Kementerian Kewangan dengan sukacitanya memaklumkan bahawa bantuan tersebut diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam, pelajar diploma dan yang setara, termasuk di institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta MARA.
Dengan perluasan tersebut, peruntukan yang disediakan telah dinaikkan daripada RM270 juta kepada RM300 juta untuk memanfaatkan lebih kurang 1.5 juta pelajar.
Berikut adalah antara soalan lazim tentang Bantuan Prihatin Nasional untuk pelajar menerusi kenyataan rasmi oleh Kementerian Kewangan yang dikemaskini 12 April 2020.
Bantuan Prihatin Nasional
Baca dengan teliti untuk menyemak syarat kelayakan, cara memohon BPN untuk pelajar, serta tindakan yang perlu dilakukan selanjutnya.
1. Nilai Bantuan Prihatin Nasional
Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan one-off (sekali terima) sebanyak RM200 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
2. Kelayakan
i) Warganegara Malaysia
ii) Berstatus aktif sebagai pelajar sepenuh masa pada 31 Mac 2020 di institusi pendidikan berikut:
- Kolej Komuniti
- Politeknik
- Universiti Awam
- Institusi Pendidikan Tinggi Swasta
- Tingkatan 6
- Senior Middle 3
- Sijil Tinggi Agama (STAM)
- Diploma Kolej Vokasional
- Diploma dan setara Insitusi TVET
- Matrikulasi
- Pengajian Asas (Foundation)
- Asasi
- A-Level
- International Baccalaureate Diploma
- Australian Matriculation Diploma
- Diploma Lanjutan
- Sarjana Muda dan setaraf
- Sarjana dan setaraf
- Doktor Falsafah dan setaraf
- kursus diploma dan ke atas yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia
- SKM4 dan ke atas di institusi bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (MARA)
3. Cara Semak Status Kelayakan
Setiap pelajar boleh menyemak status kelayakan masing-masing di bawah pegawai Bahagian Kemasukan Hal Ehwal Akademik / Unit Hal Ehwal Pelajar di institusi masing-masing.
Jika nama anda layak untuk menerima bantuan ini, sila sediakan dokumen berikut untuk urusan pemprosesan bantuan oleh pihak IPT:
- Salinan kad pengenalan
- Nombor akaun bank dan nama bank
- Salinan penyata atau buku bank
- Sertakan salinan penyata atau buku bank pada muka surat yang mempunyai nombor akaun bank
- Nombor telefon bimbit
4. Cara Saluran Bantuan
Bantuan akan disalurkan kepada pelajar melalui akaun bank pelajar mulai hujung bulan April 2020.
Setiap pelajar perlu mempunyai akaun bank tempatan dan mengemaskini maklumat kepada Unit Hal Ehwal Pelajar masing-masing.
5. Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Kementerian Kewangan Malaysia.
Semoga perkongsian mengenai semakan BPN pelajar ini serba-sedikit dapat melegakan kerisauan anda.
Semoga bermanfaat.