Sesi Persekolahan Ditangguh Kerana Covid19
Isi Kandungan
Sesi Persekolahan Ditangguh Sehingga Malaysia Kembali Pulih Dari COVID-19
Seperti yang kita semua telah maklum, Perdana Menteri telah mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini. Terdapat beberapa perkara lain juga turut diumumkan pada Perutusan Khas jam 4 petang semalam (10.04.2020), antaranya adalah tentang sesi persekolahan.
Ramai ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang hal ini dan mereka berharap sesi persekolahan tidak akan bermula seperti biasa di saat-saat getir sebegini. Sebentar tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sesi persekolahan mungkin akan dilanjutkan sehingga keadaan kembali pulih.
Sesi Persekolahan Ditangguh
KEMENTERIAN Pendidikan telah diminta untuk melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau ‘home based learning’ sepanjang tempoh kawalan pergerakan dilaksanakan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ramai pihak yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan ketika ini, kerana bimbang akan keselamatan anak-anak semasa dipersekolahan.
“Saya telah minta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau ‘home based learning’ sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.
“Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak. Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara-saudari saya pun bimbang juga. Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya.
“Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal. Kita mungkin akan tangguhkan dahulu sesi persekolah sehinggakan kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih,” katanya pada Perutusan Khas, Jumaat.
Muhyiddin juga memberitahu walaupun keadaan di negara akan kembali pulih dengan langkah- langkah yang sedang diambil, namun rakyat diingatkan untuk sentiasa berwaspada kerana bukan Malaysia sahaja yang terkesan dengan wabak ini bahkan seluruh negara.
“Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus,” tambahnya lagi.
kredit Sesi Persekolahan Ditangguh :TVSARAWAK