Khas Ramadhan | Dibolehkan Untuk Melakukan Solat Sunat Lain Selepas Solat Witir
Isi Kandungan
Apakah Dibolehkan Untuk Melakukan Solat Sunat Lain Selepas Solat Witir?
Soalan:
Selalu saya melihat sebahagian orang apabila telah selesai solat tarawih terus pulang tidak melakukan solat witir. Apabila ditanyakan mengapa, ada jawapan yang menyebutkan bahawa jikalau telah melakukan witir dengan imam maka tidak boleh lagi untuk melakukan solat-solat sunat yang lain selepas itu (dengan niat untuk berqiyammullail). Adakah benar pendapat ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sebelum menjawab persoalan di atas, ingin kami menyebutkan akan kelebihan solat bersama-sama dengan imam sehingga selesai solat tersebut di bulan Ramadhan. Di dalam sebuah hadis, disebutkan tentang pahala bagi mereka yang solat bersama imam sehingga selesai solat tersebut akan dituliskan pahalanya sepertimana menghidupkan keseluruhan malam itu. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”.
Riwayat al-Tirmizi (734). Abu Isa mengatakan hadis ini hasan sahih.
Maka difahami melalui hadis di atas adalah perlunya untuk seseorang itu solat bersama imam sehingga selesai dan termasuklah di sini bertarawih dan berwitir bersama dengan imam bagi mendapatkan pahala yang disebutkan seperti hadis di atas.
Seterusnya, bagi menjawab persoalan yang ditanyakan mengenai adakah benar pendapat yang mengatakan bahawa tidak boleh melakukan solat sunat yang lain sekiranya telah berwitir dengan imam? Di dalam isu ini, terdapat dua pendapat:
- Pertama: Dibolehkan untuk melakukan solat sunat yang lainnya meskipun telah melakukannya bersama imam ketika solat tarawih sebelumnya dan tidak perlu untuk mengulangi solat witir tersebut.
Ini adalah mazhab kebanyakan para ulama dari kalangan Hanafiah, Malikiyyah, Hanabilah dan pendapat yang masyhur di sisi Syafi`eyyah. Ini juga adalah pendapat al-Nakha`ie, al-Auza`ie, `Alqamah dan ianya diriwayatkan juga daripada Abu Bakar, Sa’ad, ‘Ammar, Ibn `Abbas dan `Aisyah R.Anhum.
Pendapat yang membolehkan ini berhujah berdasarkan hadis-hadis berikut:
- Hadis `Aisyah R.Anha:
ثُمَّ يُسَلِّمُ تَسْلِيمًا يُسْمِعُنَا ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ مَا يُسَلِّمُ وَهُوَ قَاعِدٌ…
Maksudnya: Kemudian Baginda memberi salam, salam yang didengari oleh kami kemudian Baginda solat dua rakaat selepas memberikan salam dan Baginda sedang duduk.
Riwayat Muslim (746)
Hadis di atas adalah sebahagian dari hadis yang panjang dan al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa hadis di atas menunjukkan kepada kemungkinan Nabi SAW solat dua rakaat selepas melakukan witir dan sekaligus menjelaskan kebolehan untuk melakukan solat sunat meskipun telah melakukan witir. [Lihat al-Majmu`. Dar al-Fikr, 4/16]
- Hadis Ummu Salamah R.Anha:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْوِتْرِ، وَهُوَ جَالِسٌ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ruku` dua rakaat selepas witir dan Baginda dalam keadaan duduk”.
Riwayat al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya (26553) & al-Tirmizi (471).
Adapun larangan untuk mengulangi melakukan witir adalah berdasarkan hadis Talq bin Ali, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ
Maksudnya: Tiada dua witir dalam satu malam.
Riwayat Abu Daud (1439)
Ini juga adalah pendapat al-Imam Ibn Hazm Rahimahullah yang mana beliau menyebutkan bahawa bagi mereka yang telah melakukan witir diawalnya dan solat sunat selepas witir itu dibolehkan dan tidak perlu untuk mengulangi witir. [Lihat al-Muhalla. Dar al-Fikr, 2/91]
Pendapat ini juga sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Tirmizi Rahimahullah dan menyandarkannya kepada Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak dan ini juga adalah pendapat yang paling asah (sahih) menurut beliau. [Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/330]
- Kedua: Tidak boleh melakukan solat sunat setelah melakukan solat sunat witir kecuali telah dibatalkan witirnya, dia solat (sunat) dan kemudian berwitir.
Membatalkan witir di sini membawa makna dengan memulakan solat sunat satu rakaat, menjadikan witir yang dilakukan sebelum ini genap bilangan rakaatnya. Kemudian lakukanlah solat sunat yang lain dan kemudian diakhiri dengan witir sekali lagi.
Ini adalah pendapat sebahagian Syafi`eyyah dan ini juga diriwayatkan daripada `Uthman, `Ali, Usamah, Ibn `Umar, Ibn Mas`ud dan Ibn `Abbas R.Anhum.
Hujah yang digunakan adalah berdasarkan hadis Nabi SAW:
اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا
Maksudnya: Jadikan akhir solat (sunat) kalian pada waktu malam dengan melakukan solat sunat witir.
Riwayat al-Bukhari (998) & Muslim (751)
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tiada masalah bagi mereka yang ingin melakukan solat sunat selepas melakukan solat witir bahkan yang terbaik adalah kekal bersama imam sehingga selesai solat bagi mendapatkan pahala menghidupkan keseluruhan malam. Ini berdasarkan hadis yang terdahulu iaitu riwayat Muslim, Ahmad dan al-Tirmizi. Inilah pemutus dan penyelesaian bagi isu ini dan ini juga seperti yang dinukilkan di dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi`e.
Oleh itu, pendapat yang mengatakan tidak boleh melakukan solat sunat lain setelah melakukan solat witir kurang tepat dan yang sebenarnya, boleh untuk melakukan solat sunat yang lainnya meskipun telah melakukan solat sunat witir bersama-sama imam dan tidak perlu untuk mengulangi solat witir tersebut dan berpadalah dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Semoga Allah memberikan kefahaman di dalam agama-Nya. Kita sentiasa berusaha agar Ramadhan pada kali ini dapat diisi dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.
Akhir kalam, semoga perkongsian kami berkenaan dengan Khas Ramadhan | Dibolehkan Untuk Melakukan Solat Sunat Lain Selepas Solat Witir dapat memberi manfaat dan kefahaman yang tepat buat anda semua.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Anda juga mungkin berminat dengan :
Khas Ramadhan | Tinggal Puasa Kerana Berpantang, Langkah Tahun Kerana Menyusu
Khas Ramadhan | Hukum Suntik Insulin Bagi Pesakit Diabetes Kronik di Bulan Ramadhan
Khas Ramadhan | Muntah Setelah Makan Ubat Buang Angin