Panduan Melakukan Solat Witir (JAKIM)
Berikut dikongsikan panduan mengerjakan solat witir untuk rujukan utama umat Islam di luar sana.
Isi Kandungan
Apa Itu Solat Witir?
Solat Witir merupakan solat sunat yang dilakukan selepas solat Isyak dan kebiasaannya dirangkaikan dengan solat sunat Tarawih. Rasulullah saw, bersabda yang bermaksud
“Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran.”
Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi
Witir ertinya ganjil, yakni tidak genap rakaatnya.
Para malaikat turut menyaksikan atas kesungguhan amalannya. Lebih afdal daripada sunat-sunat rawatib yang lain. Waktunya selepas sembahyang Isyak. Sabda Rasulullah SAW:
“Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah sembahyang Witir, sebab Allah itu witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada witir.”
(Riwayat Ahmad)
Barang siapa yang telah mengerjakan witir penamat, kemudian mahu bersembahyang lagi selepas itu, maka ia boleh sembahyang tetapi tidak mengulangi witir kerana Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada dua witir pada satu malam.”
(Riwayat Ahmad)
Walau bagaimanapun mengikut pendapat ulama dalam Kitab Bahrul Mazi mengatakan, sesiapa yang telah menjayakan witir pada awal malam, kemudian apabila ia bangun di tengah malam dan mahu mengerjakan witir sekali lagi, maka ia hendaklah bersembahyang Witir satu rakaat dengan niat untuk menggenapkan witir di awal malam tadi.
Setelah selesai ia mengerjakan sembahyang satu rakaat barulah boleh ia mengerjakan sembahyang Tahajjud dan sembahyang sunat-sunat yang lain dan di akhir sekali barulah ia sembahyang sunat Witir. Keadaan ini dikira satu witir sahaja dalam satu malam.
Hukum Solat Sunat Witir
Hukumnya sunat muakkad, dikerjakan sekurang-kurangnya satu rakaat dua salam dan sebanyak banyaknya sebelas rakaat dengan tujuh salam.
Sebagaimana solat tarawih disunatkan berjemaah, begitu juga solat witir turut dituntut agar dilaksanakan secara berjemaag bersama dengan imam di bulan Ramadan.
Waktu Solat Sunat Witir
Waktunya selepas sembahyang Isyak.
Rakaat Solat Sunat Witir
Bilangan rakaatnya ialah ganjil iaitu 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 rakaat. Solat ini biasanya dilaksanakan secara berjemaah akan tetapi ia juga boleh dilaksanakan secara bersendirian.
Lafaz Niat Solat Witir
Lafaz niat solat sunat Witir adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala.”
Selepas memberi salam, sembahyang Witir akan disambung sebanyak 1 rakaat lagi dan lafaz niatnya adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Witir satu rakaat kerana Allah taala.”
Umat Islam digalakkan perbanyakkan berdoa kepada Allah.
Cara Mengerjakan Solat Witir
- Lafaz niat solat Witir.
- Rakaat pertama selepas Al-Fatihah, baca surah Al-‘Ala.
- Rakaat kedua selepas Al-Fatihah, baca surah Al-Kafirun.
- Rakaat ketiga selepas Al-Fatihah, baca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah Al-Nas.
- Selepas tahiyyat dan salam baca:
- Selepas itu, baca doa berikut:
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dan aku berlindung dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dan aku berlindung dengan-Mu seperti puji-Mu sendiri ke atas diri-Mu. Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redai.”
Sumber: Panduan Qiamullail (JAKIM)
Kelebihan Solat Witir
Solat sunat witir bukan sekadar dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, malah hendaklah dilaksanakan pada setiap malam kerana solat sunat witir hukumnya sunat muakkad, iaitu sunat yang amat digalakkan di dalam Islam.
Waktu mengerjakan solat witir ialah sepanjang malam, iaitu selepas menunaikan solat fardu Isyak sehinggalah menjelang sebelum masuk waktu solat fardu Subuh.
Solat Witir Sebelum Tidur
Kelebihan solat sunat Witir yang dilakukan sebelum tidur, Dari Kharijah bin Hudzafah Al’Adawi ia berkata:
“Nabi SAW mengunjungi kami, lalu beliau bersabda: Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kalian solat yang lebih baik bagi kalian daripada unta merah, iaitu solat witir. Solat tersebut Allah jadikan bagi kalian di antara solat Isyak hingga terbit fajar.”
Hadis Riwayat Abu Daud
Bagi mereka yang risau tidak mampu untuk bangun pada waktu malam untuk melakukan solat sunat witir, dari sahabat Abu Hurairah R.A. berkata:
“Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku dengan tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat shalat dhuha, dan shalat witir sebelum tidur.”
Hadis Riwayat Muslim
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana!