SOP Terbaru: Tempoh masa pelanggan dalam pusat beli-belah dihadkan dua jam
SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) sektor perdagangan pengedaran serta mengenakan beberapa sekatan berkuat kuasa pada 25 Mei 2021 di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah mengemas kini serta mengenakan sekatan tambahan susulan daripada pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperketat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seiring dengan hasrat kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai kecuali untuk tujuan yang penting sahaja.
Menurutnya, jika langkah tersebut dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan kawalan kendiri daripada semua pihak ia boleh membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melandaikan lengkung kes Covid-19 dengan lebih cepat dan seterusnya dapat meneruskan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara.
“Antara SOP yang dikemas kini ialah waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan di antara jam 8 pagi hingga 8 malam kecuali bagi kedai farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti SPA, wellness dan perkhidmatan manicure dan pedicure) dikekalkan di antara jam 8 hingga 10 malam.
“Selain itu juga SOP tersebut juga turut mewajibkan had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks membeli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter per persegi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Nanta berkata, tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat membeli-belah juga dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja dan had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran serta kompleks membeli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.
Katanya, premis peruncitan termasuk pusat membeli-belah yang tersenarai di bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi.
“Bagi memastikan usaha itu dilaksanakan dengan efektif, kementerian memohon semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran untuk memastikan SOP tersebut dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.
“Pemilik-pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada ditahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP juga akan menggerakkan 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP yang telah diperketatkan disemua premis-premis perniagaan peruncitan, pemborongan, restoran dan pengedaran.
Jelasnya, penguatkuasa KPDNHEP juga akan memperhebatkan pemeriksaan premis perniagaan termasuk pada hujung minggu dan hari cuti.
“KPDNHEP sebagai salah satu agensi yang diperturunkan kuasa untuk menguatkuasakan PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun.
“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP yang diperketatkan ini,” katanya.
Sumber Sinar Harian
Artikel Lain : Pura-pura Bersenam sebelum Terjun Dari Tingkat 12