Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Struktur ekonomi sebabkan upah masih rendah

Struktur ekonomi Malaysia yang masih berorientasikan buruh dan permintaan industri yang lebih memerlukan pekerja separa serta kurang mahir mewujudkan ketidaksepadanan peluang pekerjaan dengan kelayakan yang dimiliki graduan negara ini.

ekonomi

Pakar ekonomi kanan di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, berkata hasil laporan EU-ERA bagi suku ketiga 2020 mendapati, sebanyak 70 peratus pekerjaan yang ditawarkan industri adalah separa mahir, sedangkan 50 peratus mereka yang mencari pekerjaan adalah lepasan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Trend global pekerjaan memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan pelbagai kemahiran namun struktur ekonomi kita masih memberi ruang kepada pekerja separa dan kurang mahir.

“Aktiviti ekonomi kita adalah bersifat nilai tambah yang rendah, maka ini secara tidak langsung memberi indikasi keperluan buruh untuk melakukan aktiviti itu masih bertaraf separa dan kurang mahir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada webinar bertajuk “Belia dan Pekerjaan Masa Hadapan” anjuran EU-ERA.

Panel lain ialah Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ismi Arif Ismail dan Pengurus Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kolej Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Enter Coridor Klang serta Ahli Jawatankuasa Alumni Parlimen Belia Malaysia, Lt Mohd Hisyam Sah Nuddin.

Muhammad Daaniyall yang juga Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, berkata disebabkan permintaan industri lebih kepada pekerja separa dan kurang mahir, ia menimbulkan desakan supaya tingkat gaji diturunkan lebih rendah, yang mana kebanyakannya kini antara RM1,200 dan RM2,000.

“Kita mahukan transisi ekonomi maju tapi masalah struktur ini sebenarnya masih dihadapi negara kita dan memberi cabaran kepada buruh terutama belia, yang mana masalah mereka perlu ditangani hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ismi Arif berkata, penyediaan program akademik di IPT perlu membabitkan kerjasama pintar antara IPT dan industri serta penyedia pekerjaan lain termasuk sektor awam supaya wujud imbangan antara keperluan dan kehendak pasaran pekerjaan.

“Penciptaan dan penyediaan pekerjaan perlu seimbang, bukan hanya dari segi intensif buruh tetapi juga ke arah industri teknologi tinggi. Biar seiring dengan latihan yang kita sediakan kepada pelajar IPT dan kolej.

“Kita perlu lihat juga sejauh mana pelaburan langsung asing (FDI) untuk membawa kilang berteknologi tinggi ke negara ini. Isu sistemik ini berkait dan memerlukan semua pemegang taruh untuk duduk bersama,” katanya.

Selain itu katanya, IPT juga tidak semestinya perlu bergantung kepada permintaan industri semata-mata, sebaliknya boleh menyediakan latihan yang diperlukan ekonomi semasa seperti ekonomi gig dan keusahawanan.

“Ini adalah satu lagi peluang penyelesaian yang realistik dan cepat kepada masalah ketidaksepadanan antara permintaan dan penawaran ini,” katanya.

Mohd Hisyam pula berkata, graduan tidak boleh hanya bergantung kepada kelayakan yang dimiliki tetapi tidak berusaha untuk mendapatkan kemahiran lain.

“Dalam situasi sekarang, kita kena ada kemahiran tambahan yang perlu dicari sendiri untuk survival ekonomi kita.

“Kita tidak boleh salahkan industri. Belia tidak boleh rasa senang, habis belajar dan kemudian dapat kerja,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya keperluan bagi Industri Perindustrian 4.0 (IR4.0) diperkenalkan dari peringkat sekolah menengah bagi menyediakan golongan itu untuk menyertai TVET di peringkat IPT.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Permohonan Pembimbing Usahawan Muda

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More