Sukar Menaikkan Gaji Graduan 2021
Gaji Graduan Bagi Bidang Tertentu Sukar Dinaikkan
PETALING JAYA: Walaupun ekonomi negara diunjur meningkat tahun ini, harapan kenaikan gaji permulaan pada separuh kedua tahun ini dilihat sebagai cabaran besar dan berkemungkinan hanya beberapa sektor sahaja yang mampu merealisasikan jangkaan kerajaan itu.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harapan tersebut semestinya mencabar bagi majikan yang kebanyakannya masih dalam fasa pemulihan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Ujarnya, kemungkinan kenaikan gaji permulaan graduan hanya akan berlaku pada beberapa jenis industri antaranya e-dagang, teknologi maklumat (IT), logistik dan farmaseutikal yang semakin meningkat dalam situasi pandemik ini.
“Dengan kekuatan kewangan industri yang tidak terjejas ini, pastinya mereka mahu menarik bakat muda terbaik dengan tawaran gaji yang lebih tinggi untuk memenuhi perkembangan perniagaan mereka. Itu adalah satu perkara baik yang bakal diperoleh graduan kita.
“Namun, bagi industri yang mengalami impak teruk terutamanya industri penerbangan, perhotelan dan pelancongan, sudah tentu mereka tidak mampu menaikkan gaji kerana penekanan lebih diberikan terhadap pemulihan perniagaan.
“Oleh itu, graduan dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh industri yang berkembang sahaja mampu mengecapi kenaikan gaji seperti yang disasarkan oleh kerajaan, manakala industri lain akan mengambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjangkakan gaji permulaan bagi siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan akan lebih tinggi menjelang pertengahan tahun ini berikutan ekonomi dijangka semakin pulih dalam tiga ke empat bulan akan datang.
Kadar gaji menurun tahun lalu berikutan permintaan tenaga kerja yang berkurangan disebabkan pandemik Covid-19 sekali gus didorong kemelesetan ekonomi yang teruk.
Menurut beliau, apabila ekonomi dijangka pulih pertengahan tahun ini, permintaan buruh dan tenaga kerja akan bertambah sekali gus memberi kesan kepada kadar gaji termasuk gaji graduan baru bekerja.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi menegaskan, kerajaan perlu mempunyai pelan jangka panjang untuk meningkatkan gaji graduan dan juga keseluruhan tahap gaji pekerja-pekerja di Malaysia dengan menumpukan kepada pembangunan bernilai dan berteknologi tinggi termasuk menarik pelaburan asing (FDI) bersasar.
Jelasnya, untuk mencapainya, negara perlu mengubah strategi sebagai negara pengilang berlandaskan kos buruh yang rendah dan cekap serta mempunyai berkemahiran pelbagai bahasa.
“Bagi strategi jangka pendek pula, kerajaan boleh mengadakan program reskilling kepada siswazah dalam usaha menyediakan mereka sebelum menyertai industri-industri yang berkembang pesat.
“Sebagai contoh, graduan lulusan sastera perlu menambah kemahiran dengan mempelajari e-dagang dan logistik supaya lebih berdaya saing apabila menyertai revolusi ekonomi digital yang berlaku sekarang,” ujarnya.
Sumber Utusan Malaysia
Artikel lain: PenjanaKerjaya Terengganu Berhasil