Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Surah Al Waqiah: 3 Kelebihan Utama

Surah Al Waqiah adalah antara surah amalan yang sering kita dianjurkan untuk baca, hafal dan fahami maksudnya. Surah al Waqiah ini juga sering dikaitkan dengan ‘penarik kekayaan’ dan siapa yang mengamalkannya terhindar dari kefakiran. Betul ke? Jom kita tengok perkongsian kami dari sumber yang rajih serta diyakini.

Isi Kandungan

Tentang Surah Al Waqiah

Surah Al-Waqiah merupakan salah satu surah Makiyyah iaitu surah yang diturunkan sewaktu Baginda di Mekah. Surah ini adalah surah ke-56 dalam Al-Quran dan mempunyai 96 Ayat di dalamnya. Surah ini diberikan nama Surah Al-Waqiah yang bermaksud “Kiamat” sempena lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini.

surah al waqiah

Intipati Surah

Antara isi penting yang dibincangkan dalam surah Al-Waqiah adalah:

  1. Keadaan huru-hara apabila terjadinya hari kiamat.
  2. Keadaan manusia semasa dihisab (hari pembalasan). Pada hari pembalasan, manusia terbahagi kepada tiga golongan, iaitu: a) Golongan yang segera menjalankan kebaikan, b) golongan kanan, c) golongan yang celaka serta balasan yang akan diterima.
  3. Bantahan Allah terhadap orang-orang yang mengingkari adanya Tuhan, hari kebangkitan, dan adanya hisab.
  4. Gambaran tentang keadaan syurga dan neraka.

Kelebihan Surah Al Waqiah

Seperti yang dikongsi menerusi laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, terdapat pelbagai hadis dan riwayat tertentu yang menceritakan tentang kelebihan dan fadhilat beramal dengan surah tertentu bagi mendapat manfaat di dunia serta akhirat.

Membaca al-Quran itu sendiri pada asalnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, kitab al-Quran diturunkan sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia untuk kebahagiaan di Dunia dan Akhirat.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah al-Qamar, 17)

SURAH AL WAQIAH

Begitu juga dengan surah al-Waqiah ini, Imam Syaukani menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Surah al-Waqiah mengandungi Sembilan puluh tujuh ayat atau sembilan puluh enam ayat dan diturunkan di Makkah. (Lihat Fathu al-Qadir, 5/176).

Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti berikut:

Seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA. Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya (Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546).
Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW: Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu. (Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)
Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadis yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata: Maksudnya: Apakah engkau risau akan putri-putriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)

Penutup

Bila kita berkongsi tentang kelebihan surah, pasti ada persolaan mengenai bolehkah kita amalkan surah tertentu dengan mengharapkan balasan? Seperti mengharap kekayaan dengan mengamalkan surah al Waqiah ini dan mengharapkan kebaikan dalam kubur dengan mengamalkan surah al mulk?

Berkenaan soalan ini, Mufti Wilayah ersekutuan Kuala LUmpur berpendapat, harus untuk beramal dan meminta sesuatu perkara dengan menggunakan perantaraan ayat suci al-Quran untuk mendapat habuan dunia dan akhirat.

Justeru, diharuskan untuk membaca surah al Waqiah supaya mendapat kelebihan dan kekayaan seperti yang dinyatakan hadis di atas. Bahkan para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul dengan amalan soleh serta menggunakan nama dan sifat Allah SWT dalam mendekatkan diri dan berdoa kepada-Nya.

SURAH AL WAQIAH

Malah Yang Berbahagia Mufti juga menyarankan supaya membaca al-Quran untuk mendapat syafaat daripadanya dan ikhlas dalam beramal serta mencari keredhaan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat. Ia sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya (Riwayat Muslim (804).

Jom kita semua amalkan surah al Waqiah, al-Mulk dan al-Quran dalam kehidupan harian.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More