Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Tahiyat Awal Merupakan Sunat Ab’Ad Dalam Solat

Berikut dikongsikan tentang tahiyat awal dalam solat yang wajib diketahui oleh semua umat Islam di luar sana agar solat anda lebih sempurna.

Isi Kandungan

Bacaan Tahiyat Awal

Bacaan tahiyat awal dan tahiyat akhir merupakan sebahagian daripada rukun solat yang perlu diperhatikan.

Dengan itu, sebaiknya kita melaksanakannya dengan penuh kesempurnaan, mengucapkan bacaan ini dengan memperhatikan makhraj dan tajwid yang betul.

Tahiyat Awal Merupakan Sunat Ab'Ad Dalam Solat 1

Berikut adalah bacaan tahiyat awal dalam jawi, rumi beserta maksudnya,

Tahiyat Awal Merupakan Sunat Ab'Ad Dalam Solat 2

Attahiyatul Mubarakatush Solawatuth Thayyibatu Lillah. Assalamu’alaika Ayyuhan Nabiyyu Warahmatullahi Wabarakatuh. Assalamu’alayna Wa ’alaa ‘ibadillahis Solihin. Asyahadu Allaa Ilaha Illallah. Wa ’asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma Solli ’alaa Muhammad Wa ’alaa Ali Muhammad. 

Maksudnya: Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu Ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad.

Sunat Ab’ad Dalam Solat

Tahiyat awal merupakan salah satu daripada sunat Ab’ad dalam solat. Orang yang meninggalkannya disunatkan untuk sujud sahwi setelah memberi salam.

Secara umumnya, Imam yang meninggalkan tahiyat awal tidak boleh kembali semula ke kedudukan tahiyat apabila dia telah bangun dalam keadaan sempurna qiyam.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada Al-Mughirah bin Syu’bah, Nabi Muhammad SAW bersabda:

إذا قامَ أحدُكم منَ الرَّكعتينِ فلم يستتمَّ قائمًا فليجلِس فإذا استتمَّ قائمًا فلا يجلِسْ ويسجدُ سجدتَي السَّهوِ

Maksudnya: Jika seseorang bangun daripada rakaat kedua dan belum sempurna qiyamnya, maka hendaklah dia duduk (kembali kepada kedudukan tahiyat). Jika dia telah sempurna qiyamnya, maka janganlah dia duduk dan hendaklah dia melakukan dua kali sujud kerana terlupa (sujud sahwi).

Riwayat Ibnu Majah

Berdasarkan hadis diatas, seseorang tidak boleh kembali kepada tahiyat awal setelah sempurna qiyamnya kerana qiyam merupakan rukun sedangkan duduk tahiyat awal adalah sunat.

Mereka yang kembali ke kedudukan tahiyat awal dimaafkan dalam tiga (3) keadaan, iaitu:

  • Orang yang bangun dalam keadaan belum sempurna qiyamnya.
  • Orang yang jahil mengenai hukum tersebut.
  • Orang yang terlupa.

Manakala, mereka yang tidak dimaafkan iaitu boleh membatalkan solatnya dalam keadaan seperti berikut:

  • Orang yang kembali ke kedudukan tahiyat awal dalam keadaan sengaja dan tahu akan pengharamannya.

Tindakan Individu Yang Terlupa Tahiyat Awal

Berikut merupakan beberapa tindakan yang perlu dilakukan oleh seseorang yang duduk kembali untuk mengerjakan tahiyat awal berdasarkan situasi berikut:

  1. Teringat dalam keadaan sebelum sempurna qiyam. Disunatkan untuk duduk kembali ke tahiyat awal kerana dia belum dikira masuk ke dalam rukun seterusnya iaitu qiyam.
  2. Teringat dalam keadaan telah sempurna qiyam secara sengaja dan tahu pengharamannya. Solatnya terbatal kerana dia telah masuk ke dalam rukun berikutnya iaitu qiyam.
  3. Teringat dalam keadaan telah sempurna qiyam secara tidak sengaja dan tidak tahu pengharamannya. Solatnya tidak batal kerana permasalahan ini merupakan masalah yang terperinci. Disunatkan untuk dilakukan sujud sahwi setelah dia teringat.

Tindakan Makmum Jika Imam Terlupa Tahiyat Awal

Bagi solat berjemaah, makmum perlu mengetahui tindakan yang perlu dilakukan jika berada dalam situasi imam melakukan kesilapan.

Ibn Nuqaib Al-Syafi’i menjelaskan berdasarkan dua (2) situasi seperti berikut:

Situasi 1: Imam Turun Semula Ke Kedudukan Tahiyat Awal Setelah Sempurna Qiyam

ولو نهض الإمام لم يجز للمأموم القعود له إلا أن ينوي مفارقته، فلو انتصب مع الإمام فعاد الإمام إليه حرمت موافقته بل يفارقه أو ينتظره قائماً، فإن وافقه عمداً بطلت

Maksudnya: Jika imam telah bangun (qiyam), makmum tidak boleh duduk melakukan tahiyat kecuali dia berniat mufaraqah  (daripada Imam). Jika dia mengikut Imam (bangun qiyam), lalu Imam kembali (ke kedudukan tahiyat) haram bagi seorang makmum mengikutinya. Bahkan makmum hendaklah berniat mufaraqah atau menunggu Imam dalam keadaan berdiri. Jika makmum mengikut Imam dalam keadaan sengaja, batal solatnya.

Situasi 2: Imam Duduk Tahiyat Awal, Sedangkan Makmum Bangun Ke Kedudukan Qiyam Dalam Keadaan Terlupa

ولو قعد الإمام وقام المأموم سهواً لزمه العود لموافقة إمامه

Maksudnya: Jika Imam duduk (tahiyat), sedangkan makmum berdiri (qiyam) dalam keadaan terlupa, makmum hendaklah kembali mengikut Imam (duduk semula).

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More