Tak Sempat Ganti Puasa tahun 2022? Ini Kiraan FIDYAH
Kiraan fidyah walaupun saban tahun telah diterangkan oleh pihak berwajib, namun masih ramai yang tidak mahir dengannya. Sebelum kita pergi lanjut pada pengiraan fidyah, ayuh kita belajar dulu perkara penting berkaitan fidyah agar yang wajib telah ditunaikan dan boleh juga diterangkan kepada keluarga mahupun kawan terdekat.
Antara terpaling popular berkaitan fidyah adalah buat mereka yang tidak sempat menggantikan puasa dengan pelbagai alasan tersendiri. Apabila Ramadan menjelang tiba, masing-masing mula risau dengan kadar kiraan bayaran fidyah yang sepatutnya dikenakan ke atas mereka.
Isi Kandungan
Maksud Fidyah
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hukum puasa, haji dan yang berkaitan. Jika ia melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada) bulan Ramadan.
Hukum Fidyah
Seperti yang kami rujuk di laman rasmi Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Al-Baqarah ayat 184:
Maksudnya:
“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
Sebab Dikenakan Fidyah
- Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
- Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
- Ibu yang menyusukan Anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
- Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
- Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan
Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
- Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Taksiran Fidyah
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
Kadar Bayaran Fidyah
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian mata wang adalah berdasarkan kepada kadar kiraan fidyah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.
Kiraan Fidyah
Untuk memahami kaedah kiraan fidyah, sebagai contoh Fatimah meninggalkan puasa selama 7 hari kerana haid pada bulan Ramadan 1438H (2017). Berikut adalah contoh kiraan berdasarkan situasi:
Situasi 1
Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan berikutnya pada tahun 1439H (2018).
Formula Kiraan: (Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah)
7hari x RM4.00 = RM28.00
Situasi 2
Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Beliau tidak berpuasa pada Ramadan 1438H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1441H (2020). Fatimah berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah beliau.
Formula Kiraan Fidyah: (Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah) X Bilangan Tahun Yang Ditinggalkan)
(7hari x RM4.00) x 3 Tahun = RM84.00
Penutup (Kiraan Fidyah)
Justeru, bagi yang belum menggantikan puasa, kalian disarankan segera berbuat demikian memandangkan Ramadan bakal menjelma kurang dari 3 bulan sahaja lagi.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan kiraan fidyah atau isu lain yang berbangkit, boleh terus rujuk di laman rasmi MAIWP atau PPZ MAIWP.
Manakala untuk info lain selain kiraan fidyah ini, pembaca boleh terus bahagian Khas Ramadan yang kami sediakan secara percuma untuk semua.