Takut Covid-19 tidak jatuh syirik jejas akidah
PUTRAJAYA: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membidas sikap segelintir umat Islam yang mendakwa kononnya sesiapa takut wabak Covid-19 boleh membawa kepada jatuh hukum syirik.
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menegaskan bahawa perkara tersebut langsung tidak menjejaskan akidah seseorang Muslim apatah lagi murtad.
“Perkara takut Covid-19 tidak sama pengertian dari segi syarak daripada pemahaman lazim iaitu takut Allah kerana wabak itu bersifat makhluk yang ditakuti dengan cara dijauhi,” katanya ketika menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam yang bertajuk ‘Takut Allah atau Takut Covid-19’ disiarkan TV1 semalam dan siaran ulangannya pada hari ini.
Ini merupakan penampilan kedua beliau dalam program diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu selepas 25 Februari lalu dengan tajuk ‘Vaksin Cegah Sebelum Kalah.’
Forum bicarawara popular itu turut mencipta kelainan apabila dimulakan dengan sesi bacaan surah Yasin dipimpin Ahmad Tirmizi Ali dan disertai semua mufti setiap negeri secara maya.
Mengulas lanjut, Zulkifli menempelak pemahaman salah pihak tertentu termasuk agamawan yang masih mendakwa konon takut kepada Covid-19 bersifat bidaah dan dianggap berdosa.
“Ini tidak benar tetapi ketakutan kepada makhluk ciptaan Allah sepatutnya dijauhi seperti kita takut harimau ganas atau bencana alam dengan ikhtiar untuk elak diri jadi mangsa,” tegasnya.
Beliau turut merujuk kisah masyhur Khalifah Ar-Rasyidin kedua, Umar Al-Khattab yang tidak memasuki wilayah Syam apabila tahu ada wabak dengan menyifatkan ia takdir perlu dijauhi.
Malahan, beliau turut mendapatkan pandangan ulama muktabar terkenal dari seluruh dunia termasuk Majlis Fiqh Antarabangsa dan Syeikh Al-Azhar yang sependapat mengenai isu itu.
Ia termasuk pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid atau surau yang saf dijarakkan ada nas dalil Rasulullah SAW sendiri termasuk larangan jika ada penyakit berbahaya.
“Saya sendiri tanya ramai sahabat di negara-negara Arab dan mereka kata bukan pelik solat ada jarak waima di Mekah, Madinah, Mesir serta Indonesia pun buat yang sama,” katanya.
Justeru, Zulkifli menyangkal tohmahan jahat pihak tertentu yang mendakwa kononnya beliau mengarahkan fatwa mengenai ibadah solat berjemaah dengan jarak atas kepentingan sendiri.
Padahal ujarnya, keputusan berhubung isu itu diputuskan oleh semua mufti dalam muzakarah fatwa peringkat kebangsaan sebelum diperkenankan Majlis Raja-Raja untuk pewartaan rasmi.
Pandangan itu katanya turut disepakati majoriti ulama di luar negara atas dasar maslahah am atau kepentingan umum demi menjaga nyawa berdasarkan kepada prinsip maqasid syariah.
Bahkan jelasnya, hukum tersebut boleh disesuaikan dengan keadaan semasa dan setempat asalkan masih lagi dapat melakukan ibadah dan ini juga meliputi isu pelan imunisasi Covid-19.
“Ramai ulama termasuk Imam Masjidil Haram dan Raja Arab Saudi pun divaksin, justeru saya berharap agamawan setempat jadi contoh ikutan buat penduduk dalam isu sebegini,” katanya.
Sumber Utusan Malaysia
Artikel lain: Permohonan Moratorium Automatik PKP 3.0 Bank Negara Malaysia