Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023

Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 ini disampaikan oleh Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan untuk semua guru di Malaysia.

Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru di Malaysia sebagai penghargaan kepada guru / cikgu yang bertungkus lumus mendidik anak bangsa ke arah kejayaan.

Peredaran zaman dan kemajuan teknologi tidak pernah mengubah tugas dan jasa guru dalam mendidik dan membekalkan ilmu kepada seluruh pelajar.

Tugas guru pada masa kini pula semakin mencabar yang mana memerlukan kreativiti dan inovasi bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan kepada pelajar selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Isi Kandungan

Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023

Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-52 Tahun 2023 iaitu pada 16 Mei 2023, dengan bertemakan “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”, Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia telah menulis Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 untuk semua guru di Malaysia bagi membalas jasa semua guru-guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah dan banyak berkorban tenaga dalam mendidik generasi hari ke hari.

Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023

Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 daripada kedua-duanya adalah seperti berikut. Pertama sekali adalah Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 daripada Menteri Pendidikan dan kemudian diikuti dengan Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 daripada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 Daripada Menteri Pendidikan

-Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023-

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Malaysia Madani

Dengan hati yang tulus ikhlas, mewakili seluruh kepimpinan di Kementerian Pendidikan, izinkan saya merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada warga guru kita di seluruh negara.

Walau di manapun para guru berada, di hujung daerah yang ratusan batu jauhnya dari bandar, di tengah pulau yang sunyi sepi, di tanah tinggi yang kedinginan, mahupun di tengah-tengah kesibukan kota kosmopolitan, hari ini, ucapan Selamat Hari Guru bergema merentas segala sempadan dan seharusnya ucapan keramat ini menjengah masuk ke lubuk hati bukan sahaja setiap warga pendidik, malah seluruh anggota masyarakat.

Sejarah telah membuktikan bahawa kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan rakyatnya. Insan yang
berperanan besar mewujudkan kegemilangan tersebut, tidak lain tidak bukan ialah guru. Dalam erti kata lain, tidak akan adanya doktor, jurutera, saintis, profesor, menteri, ahli korporat dan sebagainya tanpa adanya didikan awal bermula dari seorang bergelar guru yang mengajarkan tulis dan baca.

Hari ini, pelbagai trend global, menuntut kita untuk memikir dan melihat semula bidang pendidikan kita. Kehadiran saya dalam
Kementerian Pendidikan adalah diiringi dengan tuntutan semasa dan harapan pelbagai pihak agar agenda pembaharuan dalam
pendidikan negara digerakkan dengan segera.

Warga pendidik yang dikasihi,

Tema “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani” dipilih sebagai tema sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.
Tema ini menuntut agar guru sebagai pendidik, bertanggungjawab sepenuhnya bukan sahaja memberi tunjuk ajar kepada anak murid tetapi juga bagi memelihara martabat, kedudukan dan kemuliaan profesion yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Maka, adalah menjadi satu tuntutan untuk kita turut memberi fokus kepada usaha membina insan guru yang berkualiti tinggi. Usaha ini turut meliputi penyediaan generasi pelapis guru yang berwibawa dan pembangunan profesionalisme secara berterusan bagi para guru yang sudah sedia berada dalam sistem pendidikan negara.

Adalah menjadi aspirasi dan hasrat Kementerian Pendidikan untuk membentuk guru insani yang mempunyai personaliti seimbang, prihatin serta mempunyai nilai-nilai murni yang mampu menjadi pemangkin dalam membentuk masyarakat MADANI.

Guru insani adalah guru yang berupaya menunjukkan kemurnian akhlak dan budi pekertinya untuk menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Nilai sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki ‘towering personality’, perlu sentiasa dipamerkan dengan baik oleh guru kerana banyak mata yang sentiasa memerhati dan melihat keperibadian mereka.

Sesungguhnya guru perlu jujur dan amanah, mempunyai jati diri dan sentiasa meneroka potensi diri. Guru juga perlu memiliki semangat yang tinggi dan komitmen yang padu untuk mendidik, bukan hanya kerana ia adalah satu tuntutan kerja, tetapi lebih kepada pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang sebati dengan naluri dan jiwa untuk mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang terbaik.

Oleh itu, guru sebagai pemangkin, berperanan untuk memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh dan berkeyakinan tinggi berlandaskan prinsip Rukun Negara serta nilai-nilai murni dalam kehidupan. Seorang guru insani dilihat bukan sahaja mampu memikul tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada anak muridnya, bahkan lebih penting mampu menjadi pendidik yang dapat mencorakkan peribadi murid ke arah keseimbangan duniawi dan ukhrawi untuk membina negara MADANI.

Peranan guru sebagai pendidik yang paling penting, ialah sebagai penggerak utama dalam pembinaan murid beradab, menyanjung
tinggi nilai kemanusiaan untuk membentuk kemuliaan insan (karamah insaniah) dan menghargai nilai kemakmuran. Guru
bertanggungjawab sebagai pemacu dalam pembinaan generasi berperibadi mulia, mapan dan berdaya cipta bagi melahirkan
masyarakat yang terkedepan dari segi pemikiran dan kerohanian tanpa mengabaikan pencapaian kebendaan.

Warga pendidik yang dikasihi,

Dalam kita menelusuri denai dan liku dunia pendidikan, kita akui bahawa kita tidak terlepas daripada berhadapan dengan krisis moral, yang bukan sahaja dihadapi oleh negara kita, malahan negara lain di dunia dan telah menjadi isu global.

Justeru, dekadensi moral dan sahsiah generasi muda ketika ini, yang dipanggil sebagai generasi Z perlu ditangani dengan bijak. Kita, sebagai masyarakat amnya, dan para guru khususnya, berhadapan dengan generasi Z yang tidak pernah mengenal kehidupan tanpa teknologi sehingga terkadang disebut sebagai i-gen. Generasi Z ini, dinilai sebagai generasi yang penuh dengan keinginan besar untuk mencapai sesuatu tujuan, harapan, atau cita-cita. Generasi ini juga generasi yang jauh ke hadapan dan sangat mahir tentang dunia digital, percaya diri yang tinggi dan memiliki rasa ingin tahu yang sangat tinggi.

Jika isu ini tidak ditangani segera dengan penuh hati-hati, maka tidak mustahil, kita akan menuju kepada lahirnya sebuah bangsa yang dinamakan sebagai generasi yang hilang (the lost generation). Sesungguhnya, guru tiada pilihan, melainkan perlu kembali menghayati Falsafah Pendidikan Guru sebagai asas membina pendidikan negara dengan didasari oleh Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dalam hasrat melahirkan anak baik lagi cerdik.

Anak murid hari ini, merupakan generasi yang amat memerlukan perhatian, cinta dan kasih sayang daripada guru yang mendidik
mereka. Oleh itu, guru mesti mempunyai sifat kasih kepada anak muridnya. Dengan sifat kasih ini, guru lebih mudah mendekati anak muridnya dan secara tidak langsung, anak murid dapat meluahkan apa jua masalah yang membelenggu mereka. Sifat ini akan dapat menerbitkan rasa percaya dan perlu kepada bimbingan dan tunjuk ajar guru. Suasana mesra dan rasa selamat yang wujud antara anak murid dan guru akan memudahkan lagi proses pentarbiyahan dan pembentukan peribadi mulia.

Justeru, hasrat yang tersirat dalam Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu benar-benar difahami dan dihayati oleh setiap guru dan perlu dirangkul bersama-sama dalam konteks karamah insaniah, iaitu konsep manusiawi yang
mengkehendakkan setiap anak murid yang dilahirkan itu bukan sahaja cerdik intelektualnya malahan mempunyai perasaan empati dan kasih sayang antara satu sama lain. Maka baharulah dapat direalisasikan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Warga pendidik yang dikasihi,

Guru merupakan tulang belakang dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sewajarnya, bermula dari peringkat prasekolah sehingga lepasan menengah. Peranan dan sumbangan para guru amat penting dan bermakna dalam memastikan generasi baharu yang lahir dapat memenuhi segala ruang dan peluang yang ada sekali gus mendepani apa jua cabaran yang datang.

Oleh sebab itu, perhatian guru dalam dunia pendidikan adalah yang terutama. Membangkitkan roh dan jiwa seorang guru adalah sumber dan kunci utama dalam proses keberhasilan pendidikan. Guru memikul amanah yang begitu mulia dan penuh tanggung jawab. Di tangan seorang guru akan lahirlah generasi yang berupaya menebarkan cahaya kebaikan di tengah masyarakat. Justeru,
jadikan proses pengajaran sebagai tugas yang mulia dalam menanamkan nilai-nilai iman, adab dan akhlak kepada setiap anak
murid. Teruslah bersabar dalam mendidik generasi ini. Bangkitkan roh, jiwa dan semangat dalam mendidik generasi ini.

Saya juga menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar terus memberi sokongan dan bantuan kepada pihak guru dan sekolah sama ada daripada segi pandangan, kemahiran mahupun kewangan untuk melonjakkan prestasi pendidikan anak-anak kita ke arah yang jauh lebih baik.

SELAMAT HARI GURU

Wabillahi al-taufik wal hidayah wassalamualaikumwarahmatullahi wabarakatuh.

-Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023-

Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 Daripada Ketua Pengarah Pendidikan

-Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023-

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.
Apa khabar semua?

Syukur alhamdulillah kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita dapat meraikan sambutan Hari Guru tahun 2023 pada hari ini. Pastinya sejak dahulu lagi, kita sentiasa ternanti-nanti tanggal 16 Mei, untuk meraikan dan memberikan penghormatan serta penghargaan yang tidak terhingga terhadap jasa dan pengorbanan guru.

Terima kasih kepada semua warga guru yang sentiasa komited menyumbang khidmat bakti demi memastikan pendidikan anak bangsa terus berlangsung dengan mapan dan jaya walaupun diuji dengan pelbagai cabaran.

Warga guru dan murid yang dikasihi sekalian,

Sejak pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 pada 20 Mac 2023, saya pasti bahawa guru sudah mengenali potensi awal anak murid untuk membina karakter Anak Baik lagi Cerdik (ABC). Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas berkenaan Pengurusan Minggu Pertama Persekolahan Mulai Sesi Akademik Tahun 2023/2024 KPM kepada sekolah, menyatakan bahawa tiada kelas akademik pada minggu pertama. Minggu pertama persekolahan seharusnya dimanfaatkan dengan pelaksanaan program atau aktiviti menyeronokkan yang dapat menyokong murid dan guru, agar bersedia sepenuhnya dari aspek sosioemosi dan mental untuk
melaksanakan proses pendidikan formal. Oleh itu, guru dapat memanfaatkan minggu pertama sebagai sesi suai kenal dan berinteraksi dengan murid bagi mengelakkan tekanan kepada murid, terutamanya anak murid yang baharu menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Langkah ini merupakan usaha untuk mewujudkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Pada tahun ini, tema hari guru ialah ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’. Tema ini membawa pengertian yang cukup
mendalam dan bermakna kerana guru merupakan nadi dalam sistem pendidikan negara. Peranan guru, bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu kepada murid, malah memastikan murid mempunyai sahsiah serta daya saing yang tinggi melalui penjiwaan amalan baik yang diterapkan melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP) merentas kurikulum di sekolah.

Tema ini, diilhamkan daripada amanat YAB Perdana Menteri untuk meningkatkan martabat guru sebagai agen penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan. Guru menjadi pemangkin dan pemacu kepada keberhasilan pendidikan negara. Pemilihan tema tersebut amat bersesuaian dengan tugas dan peranan guru untuk memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh dan berkeyakinan tinggi. Pembentukan sikap ini, harus berlandaskan prinsip Rukun Negara serta nilai-nilai yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar berjaya mencapai karamah insaniah.

Warga guru dan murid yang dikasihi sekalian,

Pendidikan memerlukan perjuangan yang mapan. Usaha gigih dan keprihatinan para guru menentukan kejayaan anak murid. Bak kata pepatah, apa yang ditanam, itulah yang dituai. Andai jagung yang disemai, mana mungkin padi yang dituai. Justeru, guru, sebagai insan yang berilmu dan berkeperibadian tinggi, laksanakanlah tanggungjawab mendidik anak murid dari hati yang ikhlas untuk melahirkan anak yang baik lagi cerdik. Tautlah hati anak murid, bagi mewujudkan kepercayaan dan sentiasa memberi inspirasi kepada mereka, untuk menjadi seorang insan yang mulia. Cinta dalam pendidikan ialah cinta untuk mengisi hati dan minda dengan ilmu. Murid yang dididik dengan kecintaan ini, akan sentiasa ternanti-nanti masa dan peluang untuk ke sekolah bertemu dengan gurunya. Namun, rasa cinta ini hanya akan wujud dengan usaha yang ikhlas dari hati seorang guru untuk mendekati dan mendidik anak muridnya.

Profesion perguruan bukan mengajar ilmu akademik semata-mata, malah melangkaui dimensi lain bagi melahirkan dan memperkembang potensi individu yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Guru memegang amanah besar bagi melahirkan generasi masa hadapan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, keluhuran adab sopan, kemantapan integriti, dan sahsiah diri yang unggul. Oleh yang demikian, karisma seorang guru amat dituntut sebagaimana dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Guru.

Warga guru dan murid yang dikasihi sekalian,

Guru berjiwa pendidik ialah guru insani yang mempunyai fahaman yang jelas tentang matlamat sebenar pendidikan sebagaimana
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Guru, yang pada asasnya untuk memanusiakan manusia. Oleh itu, didiklah anak murid dengan seikhlasnya dari hati yang luhur. Guru yang berjiwa pendidik seharusnya kompeten dalam aspek pedagogi, sosial, profesional dan peribadi. Guru yang kompeten dalam semua aspek tersebut akan mendidik dengan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP), memberi tunjuk ajar dengan sentuhan kasih sayang, bertindak dengan penuh tanggungjawab dan menjadi suri teladan sekali gus menjadikan anak muridnya insan yang unggul.

Oleh itu, guru yang menghayati tugasnya sebagai pendidik, memiliki kualiti peribadi dan sosial yang baik agar dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan lebih sempurna. Dengan perkataan lain, kunci kepada usaha untuk melahirkan insan berkualiti bergantung kepada kualiti insan guru itu sendiri.

Warga guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya, KPM menitikberatkan pembangunan adab, akhlak dan integriti bagi melahirkan anak yang baik lagi cerdik (ABC). Seorang guru berjiwa pendidik, memiliki kemampuan untuk mendidik hati anak muridnya dengan memberi makna yang lebih mendalam terhadap ilmu intelektual yang dipelajari. Sentuhan akal dan hati ini akan menghidupkan emosi yang lebih stabil dan positif dan seterusnya membentuk akhlak yang baik. Maka, seorang guru yang benar-benar berjaya ialah seorang guru yang mampu melahirkan anak murid yang baik lagi cerdik.

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha melahirkan anak baik lagi cerdik bukanlah sesuatu yang mudah, namun bukanlah pula sesuatu yang mustahil dilakukan. Sifat kesediaan dan keterbukaan menjadi ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang guru. Dua ciri ini penting untuk guru berubah kepada apa-apa sahaja situasi dan amat diperlukan untuk berhadapan dengan cabaran semasa. Guru yang sentiasa bersedia, berupaya menimba ilmu pengetahuan dan memantapkan kemahiran yang ada, seiring dengan perkembangan dunia digital yang sentiasa berkembang dan berubah dengan penggunaan pelbagai aplikasi. Guru perlu bersifat terbuka dan bersedia untuk menerima, mempelajari, mencuba dan menggunakan apa jua cara melaksanakan PdP, walaupun
menghadapi pelbagai cabaran. Jika guru sering mengingatkan anak muridnya akan peri pentingnya untuk terus menimba ilmu, guru juga perlu terus belajar dan mempelajari sesuatu yang baharu, khususnya, yang dapat menjadikan mereka sentiasa berkompetensi tinggi. Guru yang berkompetensi tinggi dengan nilai sahsiah yang unggul, sudah pasti dapat melahirkan anak murid yang baik lagi cerdik.

Warga guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

Murid kita pada hari ini, adalah mereka yang berada dalam era baharu, iaitu, era Anthropocene, manusia menjadi salah satu penggerak besar kepada perubahan lingkungannya. Era baharu ini merupakan dunia yang terhasil daripada kemajuan yang dicapai oleh sains dan teknologi ciptaan manusia. Dunia ini, dipenuhi dengan kepesatan perubahan alat teknologi yang semakin pantas dan meluas kebolehcapaiannya. Anak murid kita pada hari ini, dibanjiri lambakan maklumat dan persaingan untuk menghasilkan teknologi lebih maju, yang sudah pasti membawa bersama-samanya, kesan yang tidak selalunya mendatangkan manfaat pada semua. Justeru, perubahan selaju pergerakan cahaya ini, memerlukan kesiapsagaan guru untuk membentuk anak murid yang
tinggi jati dirinya namun pada masa yang sama mampu berdaya saing intelektualnya.

Namun begitu, paling penting, guru perlu berupaya meraikan setiap kemajuan yang berjaya dicapai oleh murid walau sedikit manapun. Setiap peningkatan adalah satu kejayaan. Justeru, dengan keazaman untuk membina murid yang beradab, berakhlak dan berintegriti, maka warga guru seharusnya menjiwai Falsafah Pendidikan Guru yang dirangkulkan bersama-sama dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Para guru yang saya hormati dan anak murid yang disayangi sekalian,

Marilah kita bersama-sama bergerak sederap dan senada, sebagai pemangkin yang membentuk generasi Madani berdasarkan acuan kita sendiri. Akhir kata, saya mendoakan kesejahteraan buat seluruh warga sekolah untuk terus berusaha dalam mencapai kecemerlangan.

Terima kasih Cikgu!
Sekian.
Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

-Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023-

Semoga perkongsian tentang Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 ini sedikit sebanyak dapat menghargai jasa guru-guru di Malaysia serta Teks Ucapan Sempena Hari Guru 2023 ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!

Seterusnya, untuk dapatkan info-info terkini yang lain, anda boleh ke portal TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More