Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Isu Viral Menggunakan Telekung 2 Pieces Ketika Solat

Pada ketika ini, isu mengenai telekung 2 pieces sedang menjadi perbualan hangat di media sosial. Oleh itu, ayuh kita fahami konsep sebenar yang kita perlu tahu mengenai perkara ini.

Isi Kandungan

Aurat Yang Wajib Ditutup Dalam Solat

Imam Ibn Hajar Al-Haytami menyatakan bahawa pandangan muktamad mazhab Al-Syafi’i mengenai aurat yang wajib ditutup di dalam solat adalah:

يَجِبُ سَتْرُ أَعْلَاهُ أَيْ السَّاتِرِ أَوْ الْمُصَلِّي بِدَلِيلِ قَوْلِهِ عَوْرَتِهِ الْآتِي وَجَوَانِبِه لَا أَسْفَلِهِ لِعُسْرِهِ

Maksudnya: Wajib bagi orang yang solat itu menutup aurat yang boleh kelihatan daripada atasnya dan bahagian tepi (iaitu keliling bahagian tubuhnya) bukan dari arah bawahnya kerana ianya sukar.

Maksud Sebenar Arah Bawah Daripada Sesuatu Pakaian

Habib Abdul Rahman bin Umar Al-Masyhur menyatakan:

والمراد بأسفله في حق المرأة ما تحت قدميها وبجوانبه ما بين ذلك

Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan ‘di bawahnya’ dalam pemakaian wanita ialah bahagian di bawah tapak kakinya. Sementara yang dimaksudkan dengan ‘di tepinya’ pula adalah bahagian tubuh di antara hujung kepala hingga hujung kaki.

Tujuan Asal Penggunaan Telekung

Perlu difahami bahawa tujuan asal pemakaian telekung adalah untuk membantu penutupan aurat dengan lebih sempurna.

Ini bermakna pemakaian telekung menyempurnakan lagi pakaian yang menutup aurat yang dipakai di dalam telekung dan bukan sekadar menutup aurat yang belum sempurna ditutup di dalam telekung.

Keadaan terbaik bagi mendapatkan solat yang sah dari aspek penutupan aurat setelah memahami hukum yang telah dibahaskan oleh para ulama adalah:

  1. Memakai pakaian yang menutup aurat di dalam telekung Melayu, atau
  2. Memakai telekung yang bercantum tudung dengan kainnya.

Isu Penggunaan Telekung 2 Pieces

Baru-baru ini media sosial digembar-gemborkan dengan isu wanita pakai telekung 2 pieces tetapi kena tutup aurat juga dari dalam?

Sebenarnya perkara-perkara ini termasuk dalam hal-hal khilafnya dan terdapat perbezaan pandangan ulama yang mendefinisikan ‘aurat dari arah bawah.’

Pakai telekung 2 pieces sebenarnya sah solat, tetapi dengan syarat-syarat:

  • Pastikan telekungnya tidak jarang, tidak terlalu nipis, tidak terlalu pendek dan tidak terlalu ringan hingga mudah melayang apabila terkena angin.
  • Berhati-hati ketika mengangkat takbir dan mengangkat tangan untuk membaca doa qunut jangan sampai aurat terzahir. Cara selamatnya, angkatlah takbir ‘dari dalam’ telekung. Jangan sampai terangkat atau terselak telekung sehingga menampakkan aurat lengan. Cukup tangan sahaja yang dinaikkan ‘dari dalam’ kain telekung.
  • Bukan solat di atas lantai yang lutsinar, mozek, marmar yang jernih atau cermin bila dipandang ke bawah yang boleh menampakkan pantulan aurat dari dalam atau lantai kayu yang berlubang, atau ketika wanita itu solat di bahagian edge lantai tingkat atas yang memungkinkan orang di bawah boleh melihat auratnya dari bawah.

Antara syarat sah solat adalah wajib menutup aurat sama ada lelaki atau wanita.

Aurat itu mestilah ditutup dari arah atas dan tepi, kanan dan kiri adapun arah bawah tidak disyaratkan tutup.

Isunya di sini adalah pandangan muktamad (pandangan yang kuat) dalam mazhab Al-Syafi’i iaitu bukaan tepi telekung 2 pieces itu dikira dari tepi dan bukan dari bawah. Justeru, ianya wajib ditutup.

Maka, sekiranya mampu bolehlah mengamalkan pandangan muktamad dengan cara berikut:

  1. Pakai telekung 1 pieces. Ini memang tiada khilaf dan sah solat.
  2. Pakai telekung 2 pieces. Tetapi, pakailah pakaian yang menutup aurat di dalam.
  3. Tidak pakai telekung. Solat dengan pakaian biasa yang menutup aurat, kerana telekung tidak wajib, yang wajib adalah menutup aurat. Oleh itu, sah solat tanpa mengenakan telekung jika pakaiannya telah menutup aurat.
Isu Viral Menggunakan Telekung 2 Pieces Ketika Solat 2

Namun, ada juga ulama yang mengatakan bahawa bukaan itu bukanlah bukaan bawah iaitu tidak mengapa jika tidak ditutup sepenuhnya pun masih sah solat.

Jika ada kesukaran, maka boleh diamalkan pandangan yang tidak muktamad ini.

Justeru, dimaafkan jika terbuka kerana solat tetap sah selagi mana syarat-syarat yang dinyatakan di atas masih terjaga.

Isu Viral Menggunakan Telekung 2 Pieces Ketika Solat 3

Kesimpulan

Kesimpulannya, sekiranya seorang wanita solat sama ada dengan memakai telekung / pakaian seperti telekung jubah / apa jua pakaian, selagi mana diyakini auratnya terjaga dan telekung / pakaian tersebut terpelihara dari sebab-sebab yang boleh menampakkan auratnya, maka sah solatnya.

Ini kerana, ia telah menepati syarat sah solat iaitu menutup aurat.

Semoga perkongsian mengenai isu viral telekung 2 pieces ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More