Tips Untuk Ibubapa Yang Baru Dapatkan Tidur Yang Lena
Anda mempunyai ahli keluarga kecil yang baru ditambahkan dalam rumah anda. Alangkah terkejutnya tiada masa untuk berehat bagi ibubapa yang baru ini. Selamat tinggal pada tidur lena anda. Tidur malam yang anda dapat dahulu tidak pernah cukup dan tangisan bayi menjadi perkara biasa dalam rutin harian. Menurut pakar, bayi 1-3 bulan sepatutnya tidur selama 14 hingga 17 jam sehari. Namun, ia tidak selalunya ideal. Hal ini kerana, waktu tidur bayi yang baru lahir selalunya tidak menentu, termasuklah waktu tidur dan bangun yang tidak boleh dijangkakan. Adakalanya bayi anda kuat tidur pagi dan ada juga kuat tidur malam. Ia tentunya memberikan stres kepada ibubapa baru. Jangan risau!
Di sini, kami kongsikan 7 tips yang telah terbukti berkesan untuk membantu anda mengajar bayi anda tidur (dan untuk membantu anda mendapatkan tidur yang cukup)
Isi Kandungan
Tips tidur 1
Wujudkan persekitaran tidur yang kondusif
Anak anda menangis tidak berhenti, dan resah untuk tidur. Mungkin dia tidak selesa? Periksa betul – betul keperluannya. Adakah dia perlu menukar lampin? Sakit perut? Terlalu panas atau sejuk?
Bayi baru lahir ini sangat sensitif dan tidur mereka selalunya boleh dibantu dengan menukar persekitarannya. Cuba ambil kira faktor-faktor ini:
-
Lampu & Cahaya:
- Lampu dan cahaya membantu dalam menetapkan “circadian rhythm” anak anda. Ia juga mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk bayi tidur dengan mengurangkan fokus kepada gangguan luar.
-
Suhu:
- Sentiasa tetapkan suhu bilik pada suhu yang selesa. Rasa suhu di leher bayi anda. Jika terlalu panas, dia akan berpeluh. Jika terlalu sejuk, pakai pakaian yang lebih sesuai seperti “sleeping bag” atau baju tidur lengan panjang.
-
Pakaian tidur dan katil:
- Ada bayi yang tidak gemarkan bau yang terlalu kuat (contohnya bau sabun pakaian yang digunakan). Ada juga yang berasa tidak selesa dengan pakaian mereka (tag baju atau zip yang merengsakan). Gunakan sabun pakaian yang lembut yang dikhaskan untuk bayi, dan periksa pakaian mereka jika terdapat perkara-perkara yang mengganggu keselesaan mereka.
Ada kajian yang menunjukkan bahawa bayi menunjukkan respon positif terhadap bau ibunya sendiri. Ye betul tu, bau ibu sendiri dapat membuatkan mereka berasa selamat dan lebih mudah terlena. Anda boleh cuba tidur dengan pakaian tidur mereka untuk memindahkan bau anda kepada baju bayi anda. Cubalah!
Tips tidur 2
Kenali tanda-tanda bayi kepenatan
Ada ibubapa yang cuba memenatkan bayi mereka di waktu siang hari. Namun, tahukah anda bahawa bayi yang terlalu penat jugak tidak akan boleh tidur dengan mudah?
Pada 6-8 minggu pertama, bayi anda tidak mampu berjaga lebih dari 2 jam. Jika ini berlaku, bayi anda mungkin menjadi terlalu penat dan susah untuk dia tidur semula. Jadi, cara yang paling elok ialah dengan menegenalpasti tanda-tanda bahawa bayi sudah mengantuk dan bersedia untuk tidur.
Tanda-tandanya adalah seperti:
- Mata merah atau berair
- Menggaru-garu muka atau telinga
- Melentokkan badan atau menguap banyak kali
- Tidak duduk diam dan mula cerewet
- Tidak lagi berminat dengan aktiviti dan tidak menghiraukan orang atau objek di sekeliling
Jika bayi menunjukkan tanda-tanda ini, anda bolehlah mempersiapkan mereka untuk tidur.
Tips tidur 3:
Gunakan rutin makan-bangun-tidur
Berhati-hati jika anak anda tidur sejurus selepas menyusu. Ia nampak seperti tidak apa-apa, tetapi sebenarnya ia mengganggu kebolehan mereka untuk tidur sendiri.
Cuba ikuti rutin makan-bangun-tidur seperti yang dicadangkan di dalam buku book On Becoming Babywise . Kaedah ini mencadangkan supaya bayi mengikut rutin makan, bangun/aktif dan kemudiannya tidur.
Masukkan waktu bermain di antara waktu makan dan tidur supaya anda dapat mengelakkan tabiat menyusu untuk tidur. Ia juga menggalakkan mereka minum dengan kenyang dan tidak mengaitkan waktu menyusu dengan tidur.
Tips tidur 4
Elakkan stimulasi keterlaluan
Dunia di luar sana sangat luas, oleh itu anak kecil anda tentu mempunyai pelbagai perkara untuk diproses di dalam mindanya. Walaupun sangat penting untuk kita menggalakkan minda dan derianya belajar, ingat bahawa stimulasi yang keterlaluan boleh memberi impak negatif kepada corak tidurnya.
Jadi, apakata kurangkan aktiviti apabila hampir kepada waktu tidur siang atau tidur malam? Kurangkan cahaya, bunyi-bunyian yang kuat dan berikan ruang selesa dan senyap untuk membantu anak tidur.
Tips tidur 5:
Bezakan antara siang dan malam
Orang dewasa mempunyai “circadian rhythm” yang membantu kita bangun di waktu siang dan mengantuk di waktu malam. Namun bagi bayi yang baru lahir, ia mengambil masa 2-4 bulan untuk mendapatkan ritma seperti ibubapanya dan untuk badannya menghasilkan hormon tidur melatonin dan kortisol.
Kajian menunjukkan bahawa bayi lebih cepat beradaptasi sekiranya ibubapa memberi mereka persekitaran yang membantu mereka mengenali waktu siang dan waktu malam.
Jadi, pada waktu siang, cuba:
- dedahkan bayi pada cahaya semulajadi
- tingkatkan aktiviti interaktif dan bermain
- Bangunkan mereka perlahan-lahan jika mereka mula tidur sewaktu makan
Pada waktu malam pula:
- kurangkan interaksi dengan bayi
- kurangkan cahaya dan bunyi
- Amalkan rutin waktu tidur untuk memberitahu bayi bahawa waktu tidur sudah tiba
Lama kelamaan, bayi akan faham bahawa waktu siang adalah waktu bermain dan waktu malam adalah rehat/tidur.
Tips tidur 6
Kenalkan rutin waktu tidur yang tenang
Anda sebagai ibubapa perlu tahu cara yang betul untuk mempersiapkan bayi setiap malam bagi membantu mereka dapatkan tidur yang tenang. Jika bayi dapat tidur, anda juga boleh rehat dengan aman. Ada pelbagai cara atau ritual seperti:
- mandian suam
- urutan bayi
- mendodoi
- membaca buku
Jika anda menyusu, sesi menyusu bayi sebelum tidur akan memberikan mereka ketenangan. Melatonin di dalam susu ibu boleh menghantar signal mengantuk kepada bayi untuk dia berehat dan tidur.
Tips tidur 7
Gunakan alat bantuan tidur
Ramai ibubapa risau mengenai tabiat tidur yang tidak sihat semenjak usia bayi dan mengelakkan dari menggunakan alat bantuan tidur untuk bayi mereka. Namun begitu, Wing Yan, seorang pakar dalam pembesaran bayi dan anak kecil, mengatakan bahawa tabiat tidak sihat ini tidak akan terjadi pada umur yang muda (kurang dari 4 bulan).
“Bayi baru lahir masih belum pandai tidur dan mungkin memerlukan alat bantuan tidur untuk mendapatkan tidur yang secukupnya. Cuba cari keseimbangan di sini. Apa yang paling penting ialah bayi mendapat cukup tidur untuk perkembangannya”
Jadi, cuba gunakan:
Bedung bayi. Bayi baru lahir seringkali terkejut dan bangun dari tidur kerana tindakbalas Moro. Para pakar perubatan menggalakkan penggunaan bedung untuk memberi bayi anda rasa selamat dan selesa. Bedung membuatkan mereka rasa seperti di dalam rahim ibu juga.
Mesin bunyi. Sebagai orang dewasa, kita dah terbiasa dengan tidur di dalam suasana yang sunyi. Sebenarnya, bayi di dalam rahim pula sudah terbiasa dengan bunyi-bunyian di dalam badan ibunya. Jadi bunyi “ambiant” dari mesin “white noise” boleh memberikan ketenangan kepada bayi. Ia mengingatkan mereka kepada rahim ibu dan membantu tidur dengan lebih tenang.
Puting. Walaupun penggunaan puting sering diragui, namun pakar tidur bayi sebenarnya menggalakkan penggunaannya. Ini kerana puting memberikan ketenangan kepada bayi baru lahir kerana ia membantu tindakbalas refleks menghisap semulajadi. Puting yang digunakan semasa tidur juga boleh mengurangkan risiko bayi mati dalam tidur (SIDS). Jangan risau, bila sampai masanya anda boleh cuba memisahkan putih dari bayi dengan tips berguna di sini.
Artikel lain: 5 Tips Untuk Menyesuaikan Anak Semasa Bulan Puasa.