Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium Tidak Selamat – KKM
Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium adalah tidak selamat dan dilarang sama sekali untuk digunakan, menurut kenyataan akhbar pada 21 Julai 2023 daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.
Setiap penjual mempunyai pelbagai cara untuk melariskan makanan atau minuman yang dijual oleh mereka. Lagi unik, lagi ramai yang akan memberikan perhatian dan sudah tentulah menarik para pembeli.
Ditambah lagi dengan kewujudan media sosial, pastinya ia menjadi medium yang sangat penting untuk menularkan jualan.
Bagaimanapun, peniaga seharusnya lebih peka dengan setiap hidangan atau minuman yang dijual kerana ia dibimbangi boleh memberi kesan kepada pembeli.
KKM menyatakan bahawa penggunaan bekas bukan untuk tujuan makanan adalah dilarang sama sekali untuk digunakan.
Kenyataan itu dibuat oleh KKM selepas penularan gambar berkenaan penjualan air minuman yang diletakkan di dalam akuarium kaca.
Selain itu, perbuatan itu dikatakan bertentangan dengan Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Menurut peraturan itu, adalah menjadi satu kesalahan apabila akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan bertujuan untuk penyimpanan makanan.
Mengapakah Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium Tidak Selamat?
“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastis dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phithalates. Bahan itu boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air tersebut, sekaligus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan,” tulis kenyataan KKM pada 21 Julai 2023 tersebut.
Dalam pada itu, KKM juga berkata bahawa mereka melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan. Ia termasuk dalam penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.
Selain itu, KKM juga menegaskan kepada penjual dan pengguna untuk peka dan memandang serius berkenaan keselamatan makanan.
“Pihak KKM ingin menegaskan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius tentang keselamatan makanan serta memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua,” tulis kenyataan itu memberi amaran.
KKM juga menerusi kenyataan itu lagi menasihati orang ramai agar membuat pembelian makanan di premis makanan yang bersih.
“KKM juga ingin menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih. KKM komited untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin agar kesihatan pengguna sentiasa terpelihara,” nasihat KKM kepada orang ramai.
Kata KKM lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh berhubung mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang terdekat untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Baru-baru ini tular di media sosial yang menunjukkan Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium. Walaupun kelihatan unik dan menarik, ia sebenarnya mempunyai impak yang tidak baik terutama terhadap kesihatan seseorang.
Menurut Public Health Malaysia pula, bukan semua bahan sesuai untuk menjadi tempat penyimpanan dan penyediaan makanan.
“Untuk keselamatan, pilih bekas yang ada tanda ‘gred makanan’,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada 19 Julai 2023.
Jelasnya lagi, penggunaan akuarium boleh menyebabkan kebocoran bahan kimia dari bahan akuarium (silikon) yang tidak selamat ke dalam makanan. Ia juga mempunyai bahan-bahan kimia bahaya yang boleh menyebabkan kanser.
“Pam akuarium, lapisan dalam akuarium dan celah-celah akuarium sukar untuk dibersihkan. Ada risiko pertumbuhan bakteria dan kulat. Peniaga diingatkan untuk mengutamakan keselamatan pengguna dan pengguna perlu bijak memilih premis makanan yang selamat,” katanya.
Justeru, peniaga dinasihatkan untuk menghentikan Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium tersebut.
Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium itu bukan baharu, ia juga telah tular sejak bulan Ramadan lalu yang menyaksikan peniaga bazar menjualnya. Sejak tular ia mendapat pelbagai reaksi dari netizen. Malah, ada yang menegaskan bahawa akuarium sememangnya sukar untuk dibersihkan, lebih-lebih lagi di celah-celahan.
Diharapkan dengan perkongsian Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium ini dapat dihentikan segera supaya tiada lagi isu yang membahayakan ramai pihak berkaitan penggunaan bekas akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan.
Semoga perkongsian Trend Jual Air Balang Dalam Bekas Akuarium ini juga bermanfaat untuk anda semua di luar sana.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan lagi info yang terkini dan menarik di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala informasi yang tepat dan sahih untuk anda.