Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Ujian Lesen Memandu Secara e-Testing Mulai Hujung Tahun 2023

Ujian Lesen Memandu Secara e-Testing dijangka akan bermula akhir tahun ini. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘e-Testing’ bertujuan untuk

  • meningkat integriti; dan
  • kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu yang diadakan secara elektronik.

Sistem pengujian lesen memandu secara automasi yang dijenamakan sebagai ‘My A-License‘ ini akan dilaksanakan di semua Institusi Memandu (IM) di seluruh negara mulai penghujung tahun 2023 ini.

Ujian Lesen Memandu Secara e-Testing

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem e-Testing yang dibangunkan sejak 2019 itu telah melalui beberapa proses pembuktian konsep di bawah pelaksanaan JPJ.

“Baru-baru ini MOT bahagian darat telah beri satu kertas pertimbangan untuk kita laksanakan sistem e-Testing ini. Secara keseluruhannya ia telah melalui proses pembuktian konsep dan konsepnya tiada masalah. Cuma ada beberapa dasar dan prosedur perlu ditetapkan. Kertas pertimbangan itu sudah ada dan saya akan berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian untuk perincikan lagi supaya apabila dilaksanakan nanti ia berjalan lancar. Beberapa IM telah bersedia secara sepenuhnya dengan sistem itu, maka apabila kita sudah buat ketetapan, kita perlu gazetkan perubahan dari segi prosedur kemudian boleh dilaksanakan di semua IM seluruh negara,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) di ibu negara, 22 Julai 2023.

e-Testing

Pada masa ini sebanyak lima buah IM sudah menjalani proses pembuktian konsep e-Testing melibatkan satu IM masing-masing di Johor, Kedah dan Pulau Pinang manakala di Selangor dua.

Tambah Anthony, antara perkara yang diputuskan untuk e-Testing adalah ia bukan dilaksanakan secara paksaan sebaliknya sebagai pilihan kepada pelajar dan juga IM untuk fasa permulaan.

“Mana-mana IM yang belum bersedia melaksanakan sistem itu kita tidak paksa untuk tukar, bagi pelajar pula jika IM tersebut ada memasang sistem itu mereka juga diberi pilihan sama ada secara manual atau e-Testing. Kelebihan e-Testing adalah ia ujian berkomputer dan segala proses dipantau melalui kamera sensor dan masa sebenar. Apabila dia gagal, pelajar tahu. Jadi ia adalah sistem yang lebih intergriti dan telus,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan pihak IM mempunyai pilihan sendiri untuk membeli atau melanggan mana-mana vendor sistem e-Testing yang telah menepati piawaian oleh JPJ.

Katanya, MOT tidak mahu mengawal atau meletakkan syarat pemilihan vendor sebagai langkah mengelakkan berlakunya monopoli dalam pembelian sistem tersebut.

“Jadi kita sedang melihat beberapa model dan kita tidak mengikat IM untuk mesti menggunakan mana-mana satu vendor, tidak. Ia terbuka mana-mana vendor yang telah mendapat pertauliahan daripada JPJ. Selagi mereka ikut spesifikasi dan piawaian kita, maka sistem itu dibenarkan. Langkah ini lebih kompetitif kepada pihak IM dan terpulang pada mereka sama ada nak membeli atau melanggan sistem itu dengan bayaran mengikut penggunaan dan pasti ada kos yang dibenarkan untuk dikenakan kepada pelajar namun perlu berpatutan serta tidak membebankan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anthony menegaskan pelaksanaane-Testing itu bagi mengelakkan gejala ‘lesen kopi O’ sekali gus menyumbang kepada pengurangan insiden kemalangan jalan raya.

Ujarnya lagi, sistem itu juga dapat melindungi kepada semua pihak terutama pegawai JPJ berkaitan dengan integriti serta rasuah dalam pengeluaran lesen untuk IM.

“e-Testing ini antara kaedah untuk tangani isu rasuah, dulu ada pelbagai dakwan kata sistem kita tidak cukup integriti, ada unsur rasuah dan sebagainya. Sebelum ini, pegawai (JPJ) kita sering menghadapi pelbagai tuduhan. Jadi dengan sistem ini tiada lagi soal pegawai JPJ difitnah dan sebagainya. Ia adalah satu pendekatan yang baik bukan sahaja melindungi pelajar tapi pegawai kita malah nama baik JPJ juga dapat dijaga. Kita harapkan satu sistem yang adil, telus dan integriti,” jelasnya.

Sumber: MalaysiaGazette

Diharapkan dengan perkongsian info tentang Ujian Lesen Memandu Secara e-Testing ini sedikit sebanyak dapat menambahkan pengetahuan semua tentang sistem e-Testing yang akan dilancarkan bermula akhir tahun ini.

Selain info teknologi terkini tentang e-Testing ini, anda juga boleh dapatkan pelbagai lagi informasi dan fakta lain berkaitan teknologi dunia yang semakin hari semakin canggih ini di TcerDotMy kerana kami sentiasa berkongsi fakta menarik untuk rujukan utama anda.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More