Umat Islam diminta buat solat hajat selamatkan Masjid Al-Aqsa
ALOR SETAR – Umat Islam di negara ini disarankan mengadakan solat hajat untuk mohon kepada Allah SWT agar melindungi Masjid Al-Aqsa As Syarif dan penduduk Islam di Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap seluruh imam masjid dan surau di negara ini melaksanakan solat hajat bersama anak kariah untuk keselamatan umat Islam di negara itu.
Menurutnya, keadaan di negara itu masih tegang dan memerlukan perhatian umat Islam sejagat agar dapat mempertahankan kemuliaan Masjid Al-Aqsa As Syarif yang sedang diancam.
“Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Masjid Al-Aqsa dan pengunjungnya diserang polis Israel serta teroris Yahudi.
“Pertempuran warga Palestin dan polis Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa As Syarif beberapa hari ini sangat bahaya dan berkemungkinan mencetuskan pertumpahan darah lebih ramai,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.
Kenyataan bersama itu turut disokong Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa, Datuk Seri Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Datuk Abdul Ghani Samsudin.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, sehingga kini ratusan warga Palestin cedera dan terbunuh akibat tindakan ganas polis Israel.
“Beberapa video yang tular dari Masjid Al-Aqsa As Syarif menunjukkan keadaan tegang dan sangat genting.
“Mereka tekad untuk melakukan keganasan besar-besaran ke atas Masjid Al-Aqsa As Syarif sempena sambutan Hari Kelahiran negara Israel pada 14 Mei ini. Marilah kita bantu umat Islam di sana dengan munajat doa agar mereka dilindungi Allah SWT,” katanya.
Sumber Sinar Harian
Artikel Lain : PANDUAN LENGKAP TATACARA SOLAT HAJAT DALAM ISLAM