Sumber Rujukan Globalisasi Anda

UPSR tinggal sejarah

upsr

UPSR Kini Dimansuhkan Setelah 33 Tahun

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menjadi peperiksaan awam terbesar di peringkat sekolah rendah sejak tahun 1988 akhirnya dimansuhkan bermula tahun ini.

Peperiksaan yang menggantikan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PPDL) yang dilaksanakan sejak 1967 itu dikhususkan kepada murid Tahun 6 dengan tujuan asalnya adalah kepada 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemansuhan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan yang dikongsi oleh guru dan murid-murid melalui sesi libat urus yang dijalankan oleh kementerian.

“Dalam konteks guru dan guru besar, antara yang disebut ialah apabila tumpuan diberi pada UPSR, maka banyak masa di sekolah ditumpukan pada mata pelajaran yang akan diduduki masa peperiksaan sahaja.

“Menjelang peperiksaan pula, guru akan cuba habiskan silibus secepat mungkin bagi membo­lehkan mereka melaksanakan latih tubi sebagai persiapan menduduki peperiksaan. Perkara ini menyebabkan guru-guru terpaksa ‘mencuri’ masa subjek lain yang tiada dalam peperiksaan untuk persediaan UPSR,” kata­nya pada sidang akhbar khas di Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya semalam.

Katanya, hal itu menjadikan ruang untuk guru menjadi terbatas dalam menggunakan kreativiti ketika menyampaikan pembelajaran.

“Antara pandangan yang ba­nyak diterima juga ialah guru mahu diberi ruang menggunakan kreativiti dan inovasi mereka supaya keberadaan murid di sekolah menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

“Antara yang dikongsi ibu bapa pula, ada antara mereka yang memandang UPSR sebagai satu peperiksaan penting sehinggakan ada yang hantar anak mereka ke kelas tambahan se­awal Tahun 1,” ujarnya.

Katanya, ibu bapa pula da­tangnya dari sosioekonomi berbeza sehingga mewujudkan tekanan dalam mempersiapkan anak-anak.

Susulan itu, katanya, KPM kini dalam usaha memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara menyeluruh.

“Bagi kemasukan murid ke asrama untuk Tingkatan 1 pada tahun 2022, ia akan dilaksanakan seperti tahun lalu iaitu berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

“Selari dengan pemansuhan ini juga, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) turut akan dimansuhkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan, peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) turut akan dibatalkan pada tahun ini selepas mengambil kira masa yang ada bagi murid-murid membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru-guru di sekolah.

“Bila kita lihat, penularan ­Covid-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan kita mengambil kira keadaan semasa dan tanpa pelaksanaan PT3, kaedah pentaksiran murid seperti tahun lalu boleh diteruskan,” katanya.

Sumber Kosmo Online

Artikel lain: Benarkan rentas negeri guna bas ekspres

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More