Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Wanita Kurang Upaya Ditinggal Sendirian Di Tepi Jalan

Wanita kurang upaya ditinggal keluarga. Seorang wanita yang kudung sebelah kaki ditemui bersendirian dengan kerusi roda, dipercayai ditinggalkan anggota keluarganya di tepi jalan di Jalan Kebun di sini, malam tadi.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu daripada orang awam mengenai seorang wanita kurang upaya yang ditinggalkan bersama bekalan lampin pakai buang dan beg pakaian.

wanita kurang upayaGambar hiasan

TIADA WARIS YANG SUDI MENJAGA WANITA KURANG UPAYA TERSEBUT

“Sebaik menerima maklumat, Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor dan Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bergegas ke lokasi jam 8.30 malam bagi menyantuni wanita yang kudung kaki kiri berusia 60 tahun itu.

“Hasil siasatan, wanita itu adalah asnaf fakir dan masih mempunyai keluarga.

“Pihak LZS kemudian berjaya menghubungi keluarga wanita itu, bagaimanapun tidak mendapat kerjasama baik apabila tiada seorang waris sudi menjemputnya pulang ke rumah dengan pelbagai alasan,” katanya.

Susulan itu, LZS terpaksa menyerahkan wanita berkenaan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, anak wanita itu pada awalnya bersetuju hadir ke balai polis untuk mengambil ibunya, bagaimanapun sekitar jam 3 pagi tadi individu terbabit membuat keputusan tidak boleh menjaga wanita itu lagi.

“Polis kemudian menghubungi pusat jagaan warga emas yang kemudian datang dengan ambulans untuk membawanya ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19.

“Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

“Kata wanita itu ‘dah lama acik (makcik) tak jumpa anak, anak acik baik orangnya’,” katanya.

LZS berkata, pihaknya menempatkan wanita kurang upaya itu di pusat jagaan warga emas mengikut prosedur dengan kebenaran anaknya dan semua kos ditanggung oleh agensi terbabit.

“Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan maklumat kepada kami (LZS) dan Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah, Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.

“Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah SWT dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More