Ziarah Raya: Bolehkah Menyambut Hari Raya Selama Sebulan Syawal?

Berikut adalah sedikit perkongsian mengenai ziarah raya.
Terdapat persoalan: “Bolehkah Menyambut Hari Raya Selama Sebulan Syawal?”
Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal. Tetapi, menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.
Justeru, ziarah raya selama sebulan pada bulan Syawal adalah harus dan dibolehkan kerana menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Isi Kandungan [show]
Ziarah Raya Boleh Menyambung Silaturahim
Pada hari raya, umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim.
Ziarah-menziarahi pada hari raya dapat difahami daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah baginda Nabi Muhammad SAW.
Suasana di Malaysia orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara mara dan rakan taulan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.
Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan siaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَن أحَبَّ أنْ يُبْسَطَ له في رِزْقِهِ، ويُنْسَأَ له في أثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.”
Riwayat Al-Bukhari

Namun, umat Islam dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal di samping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.
Kelebihan Memuliakan Tetamu
Manakala, berkenaan kelebihan memuliakan tetamu pula Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا، أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkatalah benar atau diam, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah menyakiti jiran, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu.”
Riwayat Al-Bukhari
Rasulullah SAW mengajar kita agar memuliakan tetamu, bukan sekadar memberi makan, tetapi juga menyambut dengan hati yang ikhlas dan layanan yang terbaik.
Jangan biarkan budaya menyambut tetamu hilang ditelan zaman. Mari hidupkan sunnah, sambut dengan senyum, layan dengan ikhlas.
Ini kerana, tetamu datang membawa rezeki, perginya menghapus dosa.

Adab Ketika Menziarahi Rumah Orang
Berikut antara adab-adab ketika menziarahi rumah orang yang perlu kita lakukan, iaitu:
- Maklumkan kepada tuan rumah sebelum bertandang.
- Tidak meminta-minta hidangan.
- Makan dengan segera jika dihidangkan.
- Elakkan perbuatan yang menyusahkan tuan rumah.
- Sunat bagi tetamu mendoakan kebaikan tuan rumah.
- Tidak duduk dan singgah terlalu lama.
- Memilih waktu yang sesuai untuk datang bertandang.
Semoga perkongsian ini bermanfaat! Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.